KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia mengambil tindakan lanjut sekiranya siasatan terhadap My EG Sdn Bhd (MyEG) dan Zetrix AI Berhad menemukan unsur rasuah.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan rasmi berhubung isu itu pada 7 Oktober lalu dan akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang menjalankan siasatan.
Menurut suruhanjaya itu, kerjasama berkenaan merangkumi penelitian serta perkongsian maklumat bagi memastikan siasatan dapat dijalankan mengikut bidang kuasa setiap agensi.
Sebarang maklumat daripada PDRM yang menunjukkan kemungkinan berlaku kesalahan rasuah akan disalurkan kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya.
SPRM turut meminta pihak yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan, selain mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan dakwaan tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses berkenaan.
Suruhanjaya itu menegaskan bahawa setiap siasatan akan dilaksanakan secara bebas, adil dan berpandukan undang-undang.
Isu itu tercetus selepas Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil jabatan berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebelum ini memaklumkan tindakan itu diambil selepas kedua-dua syarikat gagal memindahkan kutipan hasil kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan.
Bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September lalu, jumlah tuntutan terhadap syarikat terbabit mencapai RM314 juta, membabitkan wang kutipan kerajaan yang belum dipindahkan ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan MOT.
MyEG dilantik sebagai ejen pemungut JPJ sejak 2000, antaranya bagi urusan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), pertukaran hak milik kenderaan, pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan pembayaran saman secara elektronik.










