KOTA BHARU: Seorang guru wanita berusia 57 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas dua pertuduhan berkaitan kecuaian yang menyebabkan kematian seorang pelajar Tingkatan Satu dan kecederaan terhadap seorang lagi di sebuah sekolah menengah di Tanjong Mas, April lalu.
Tertuduh, Sakinah Ismail, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, Sakinah didakwa melakukan kecuaian sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan di kawasan surau SMK Tanjong Mas kira-kira jam 1.40 tengah hari, 12 April lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memandu kereta jenis Honda HR-V secara cuai sehingga melanggar seorang lagi pelajar perempuan Tingkatan Satu dan membahayakan nyawa mangsa di lokasi serta waktu yang sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadzir Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam, Hasif Hasan dan Wan Fadhil Fayyadh Wan Mohd Zuhairi.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam bela memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya yang juga seorang ustazah mempunyai rekod disiplin yang baik, memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan bakal bersara pada 16 November ini.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, selain menetapkan 6 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Dalam kejadian 12 April lalu, seorang pelajar Tingkatan Satu maut, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah selepas dilanggar sebuah kenderaan dipandu guru wanita berkenaan di hadapan surau sekolah mereka.










