Lee Zii Jia Mohon Injunksi Halang Bapa, Kakak Buat Keputusan Kewangan Syarikat

KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia, mengambil tindakan undang-undang bagi menghalang bapa dan kakaknya daripada membuat keputusan tertentu berkaitan kewangan serta pengurusan syarikatnya, LZJ Management, sementara pertikaian berkenaan belum diselesaikan.

Permohonan injunksi interim itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Julai lalu, lapor Berita Harian.

Dalam permohonan itu, Zii Jia menamakan bapanya, Lee Chee Hin; kakaknya, Lee Zii Yii; adiknya, Lee Tao; serta LZJ Management sebagai responden.

Zii Jia memohon supaya Chee Hin dan Zii Yii, yang merupakan pengarah syarikat berkenaan, dilarang meluluskan sebarang fi pengarah, elaun, bonus atau manfaat kewangan lain untuk diri mereka sendiri.

Beliau turut mahu sekatan dikenakan terhadap keputusan penting syarikat, termasuk pelantikan dan pemecatan pengarah, pelantikan setiausaha syarikat, pelupusan aset, penerbitan saham baharu serta sebarang perubahan struktur pemilikan saham.

Berdasarkan permohonan itu, Zii Jia mendakwa memiliki 90 peratus kepentingan dalam LZJ Management, manakala Zii Yii memegang sembilan peratus dan Lee Tao memiliki baki satu peratus.

Selain injunksi interim, pemain berkenaan turut memohon perintah mahkamah supaya mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi membincangkan isu berkaitan pengurusan dan tadbir urus syarikat.

Permohonan itu bertujuan mengehadkan tindakan tertentu terhadap kewangan dan struktur syarikat sepanjang pertikaian undang-undang berlangsung, sementara keputusan mahkamah berhubung permohonan berkenaan masih dinantikan.

BBerkaitan

Latest articles