KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan Perdana Menteri bukan Pendakwa Raya dan keputusan pendakwaan perlu dibuat berdasarkan pertimbangan undang-undang, fakta serta bukti, bukannya tekanan atau kehendak politik.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, prinsip kebebasan pendakwaan dan kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan secara konsisten tanpa mengira kedudukan politik atau identiti individu yang terlibat.
Menurutnya, desakan supaya Perdana Menteri memastikan seseorang individu dituduh semula perlu dinilai berdasarkan kedudukan kuasa pendakwaan di bawah Perlembagaan Persekutuan serta keperluan mengelakkan campur tangan politik dalam keputusan berkaitan kes individu.
“Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Peguam Negara, yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding bagi sesuatu kesalahan, tertakluk kepada kerangka perlembagaan dan undang-undang yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, prinsip kebebasan pendakwaan perlu dihormati dalam amalan politik dan bukan sekadar menjadi cadangan dalam perubahan institusi.
Azalina berkata, mana-mana pihak berhak mempersoalkan keputusan pendakwaan dan menuntut penjelasan munasabah, namun perbezaan keputusan antara kes tidak semestinya membuktikan berlakunya campur tangan politik atau layanan berat sebelah.
Katanya, Jabatan Peguam Negara juga telah memberikan penjelasan berhubung alasan permohonan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA).
Sehubungan itu, beliau berkata, kritikan terhadap sesuatu keputusan perlu disokong fakta dan asas yang jelas, bukannya berlandaskan andaian atau tekanan politik semata-mata.
Dalam pada itu, Azalina menegaskan UMNO mempertahankan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang dan tiada sesiapa seharusnya diberikan kekebalan hanya kerana jawatan atau kedudukan politik.
Pada masa sama, katanya, setiap individu termasuk pemimpin UMNO berhak mendapat proses undang-undang yang adil dan tidak boleh dijadikan sasaran pendakwaan semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik.
“Prinsip keadilan mesti terpakai kepada semua, sama ada pemimpin kerajaan, pembangkang atau rakyat biasa,” katanya.
Mengulas cabaran terhadap keputusan pendakwaan dalam kes Yayasan Akalbudi, Azalina berkata, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam Malaysia memulakan prosiding semakan kehakiman.
Beliau berkata, prosiding berkaitan masih berjalan dan persoalan undang-undang yang dipertikaikan perlu diputuskan oleh mahkamah.
Justeru, katanya, desakan politik supaya Perdana Menteri menentukan tindakan pendakwaan bukan pengganti kepada proses perundangan yang sedang berlangsung.
“UMNO menghormati hak mana-mana pihak untuk menggunakan saluran undang-undang yang tersedia dan pada masa sama menegaskan proses mahkamah mesti diberikan ruang untuk berjalan tanpa tekanan politik.
“Kebebasan pendakwaan, akauntabiliti institusi dan kesamarataan di sisi undang-undang bukan prinsip yang boleh dipilih mengikut kepentingan politik,” katanya.
Beliau menegaskan UMNO akan terus mempertahankan prinsip bahawa undang-undang mesti ditegakkan secara adil, proses kehakiman dihormati dan keputusan pendakwaan tidak seharusnya ditentukan oleh desakan politik terhadap mana-mana individu.










