KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hadir ke mahkamah pada 9 September lalu dengan memakai baju lokap ungu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bergari atas kehendaknya sendiri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu berdasarkan maklum balas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, isu penggantungan pemakaian baju lokap bagi tahanan reman tidak timbul kerana pakaian berkenaan hanya digunakan ketika tahanan berada di dalam lokap dan bukan ketika dibawa ke mahkamah.
Beliau berkata, Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) Bahagian A118 berkaitan Orang-Orang Tahanan dan Lokap Polis menetapkan seseorang tahanan yang dibawa ke mahkamah hendaklah memakai pakaian yang digunakan semasa ditangkap, melainkan pakaian itu telah dijadikan barang kes.
“Dalam keadaan tersebut, pakaian yang bersesuaian hendaklah disediakan kepada tahanan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (Kepong) yang meminta penjelasan sama ada benar Abdul Azeez hadir ke mahkamah pada 9 September 2026 dengan berbaju lokap ungu PDRM dan bergari atas kehendaknya sendiri, selain mengapa syarat pemakaian baju lokap ungu bagi permohonan reman tidak digantung.
Saifuddin Nasution berkata, PDRM turut mengeluarkan beberapa arahan dan surat edaran berkaitan pengurusan serta pemakaian pakaian tahanan bagi memastikan pelaksanaannya seragam dan teratur.
Menurutnya, PDRM akan terus memastikan prosedur pengurusan tahanan dilaksanakan mengikut peraturan yang berkuat kuasa, termasuk ketika membawa tahanan ke mahkamah.










