Akta Jenayah Siber Dijangka Berkuat Kuasa Awal 2027

KUALA LUMPUR: Akta Jenayah Siber dijangka berkuat kuasa pada awal 2027 sebagai antara usaha kerajaan memperkukuh kerangka perundangan negara dalam menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks dan terancang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan memandang serius peningkatan jenayah penipuan dalam talian dan akan terus meneliti keperluan menambah baik undang-undang sedia ada bagi memastikan ia kekal relevan serta berkesan.

Menurutnya, kerangka perundangan negara telah diperkukuh menerusi pindaan terhadap Kanun Keseksaan dengan pengenalan Seksyen 424A, 424B, 424C(1) dan 424C(2), selain pindaan kepada Kanun Tatacara Jenayah melalui pengenalan Seksyen 116D.

“Tindakan terhadap jenayah dalam talian turut disokong melalui peruntukan berkaitan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pada masa sama, kerajaan telah memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 sebagai perundangan baharu bagi meningkatkan keselamatan persekitaran dalam talian dan melindungi pengguna daripada kandungan serta risiko dalam talian yang memudaratkan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan bersedia meminda undang-undang lapuk serta mengenakan hukuman lebih berat, termasuk hukuman sebat, terhadap penjenayah penipuan dalam talian atau scammer.

Soalan itu turut membangkitkan kerugian akibat jenayah berkenaan yang direkodkan sebanyak RM2.97 bilion pada 2025.

Saifuddin Nasution berkata, kerangka perundangan berkaitan jenayah siber turut diperkasa melalui pengenalan Rang Undang-Undang Jenayah Siber, selaras dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap ancaman jenayah siber semasa.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus mengkaji keperluan penambahbaikan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada dari semasa ke semasa.

Langkah itu bertujuan memastikan perundangan negara mampu menangani ancaman jenayah siber yang semakin berkembang, di samping memperkukuh perlindungan kepada pengguna.

Bagaimanapun, jawapan bertulis itu tidak menyatakan secara khusus sama ada kerajaan bersedia mengenakan hukuman sebat atau memperkenalkan hukuman yang lebih berat terhadap penjenayah penipuan dalam talian.

Sebaliknya, kerajaan menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerangka perundangan bagi memastikan tindakan terhadap jenayah siber dapat dilaksanakan secara berkesan.

BBerkaitan

Latest articles