KUALA LUMPUR: Model perniagaan yang tidak memposisikan Segamat Inland Port (SIP) sebagai pusat logistik bersepadu antara faktor utama menyebabkan kemudahan pelabuhan darat itu gagal beroperasi secara optimum sebelum ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengendali terdahulu lebih menumpukan kepada industri perkilangan dan pembuatan di sekitar Segamat berbanding membangunkan SIP sebagai sebuah Integrated Logistics Hub.
Menurutnya, SIP turut berdepan persaingan sengit daripada syarikat pengangkutan darat yang menawarkan perkhidmatan penghantaran terus dari pintu kilang ke pelabuhan.
“Perkhidmatan penghantaran kargo oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang tidak konsisten ketika itu turut menjadi faktor SIP tidak beroperasi secara optimum.
“Kelemahan pengendali terdahulu yang tidak mengadakan hubungan atau libat urus secara langsung dan berterusan dengan komuniti pengimport serta pengeksport di sekitar Segamat dan kawasan setempat juga menjadi punca utama kemudahan ini gagal dimanfaatkan secara optimum,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (Bakri) yang meminta penjelasan mengenai faktor menyebabkan SIP tidak beroperasi secara optimum ketika kerajaan terdahulu serta langkah Kementerian Pengangkutan bagi memastikan kegagalan sama tidak berulang.
Mengulas langkah penambahbaikan, Anthony berkata, pengendali baharu telah merangka strategi perniagaan lebih menyeluruh, termasuk mengadakan sesi libat urus dan pemasaran secara langsung dengan syarikat perkapalan serta pengimport dan pengeksport.
Katanya, usaha itu turut meluaskan kawasan liputan pasaran dari utara Johor hingga ke Melaka bagi menarik lebih ramai pengguna memanfaatkan kemudahan berkenaan.
Dari aspek operasi dan infrastruktur, beliau berkata, pengendali baharu menjalin kerjasama dengan KTMB dengan beralih menggunakan perkhidmatan pengangkutan rel secara menyeluruh.
Langkah itu turut melibatkan penaiktarafan kemudahan rel termasuk landasan, gerabak (wagon) dan lokomotif bagi memastikan kelancaran perkhidmatan.
Selain itu, pengendali baharu komited menyediakan pelbagai perkhidmatan nilai tambah di SIP, termasuk kemudahan pelepasan dokumen dan kargo oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia, perkhidmatan pergudangan dan penyimpanan barangan serta pengendalian depot kontena.
Anthony berkata, langkah berkenaan selari dengan inisiatif Road to Rail oleh Kementerian Pengangkutan yang bertujuan mengalihkan pengangkutan kargo pukal dari jalan raya kepada rangkaian kereta api.
Menurutnya, satu perkhidmatan kereta api kargo menerusi inisiatif itu dijangka mampu menggantikan sehingga 60 kenderaan pengangkutan darat atau haulier di jalan raya pada satu-satu masa.
“Langkah ini sekali gus dapat mengurangkan kos logistik yang ditanggung peniaga,” katanya.










