KUALA LUMPUR: PKR mendesak negara-negara yang terikat dengan Statut Rom supaya menunaikan kewajipan mereka terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), susulan kehadiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.
Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik berkata, tindakan puluhan perwakilan meninggalkan dewan ketika Netanyahu menyampaikan ucapannya merupakan satu bentuk bantahan jelas terhadap pemimpin rejim Zionis itu.
Bagaimanapun, tegas beliau, simbolik bantahan sahaja tidak memadai memandangkan Netanyahu masih berdepan waran tangkap ICC berhubung dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
”Waran itu bukan sabitan, tetapi ia menuntut tindakan serius menurut undang-undang.
“Apakah makna undang-undang antarabangsa jika ia hanya dikuatkuasakan terhadap sesetengah pihak?” ujar beliau dalam satu kenyataan tegas pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kedudukan diplomatik mahupun pakatan politik tidak boleh dijadikan penentu kepada siapa keadilan harus ditegakkan.
Sehubungan itu, parti tersebut turut menggesa PBB supaya meneliti semula tatacara dan mekanisme sedia ada agar prinsip akauntabiliti dapat dipertahankan secara lebih berkesan tanpa sebarang kompromi politik global.
Beliau turut mengulangi pendirian bahawa masyarakat antarabangsa perlu bersatu hati memastikan nasib mangsa kekejaman terbela, kerana rakyat Palestin berhak mendapat perlindungan, maruah, dan keadilan yang sejati.










