Guan Eng Gesa Kerajaan Naikkan Had Subsidi Elektrik Kepada 1,000 kWh

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa kerajaan menaikkan had penggunaan elektrik bagi subsidi bulanan daripada 600 kilowatt-jam (kWh) kepada 1,000 kWh berbanding 800 kWh yang dicadangkan ketika ini.

Beliau yang juga Penasihat DAP berkata, kenaikan had kepada 800 kWh hanya memberikan bantuan yang kecil kepada rakyat, iaitu sekitar RM70, sekali gus disifatkan tidak mencukupi untuk meringankan beban perbelanjaan isi rumah.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, perubahan iklim dan jerebu yang teruk, penggunaan elektrik meningkat dengan ketara, terutama apabila ramai rakyat bekerja dari rumah.

“Saya bersetuju dengan langkah menaikkan had penggunaan elektrik, tetapi jika ia hanya dinaikkan daripada 600 kWh kepada 800 kWh, bantuan sebenar yang diberikan hanya sekitar RM70 dan jumlah itu tidak begitu besar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Lim berkata, had penggunaan elektrik sebanyak 600 kWh ketika ini bersamaan dengan bil sekitar RM220 sebulan.

Jelasnya, sekiranya had itu dinaikkan kepada 1,000 kWh, kadar bil elektrik yang bersesuaian boleh mencecah sekitar RM367, sekali gus memberikan manfaat dan penjimatan yang lebih ketara kepada pengguna.

Beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan cadangan itu bagi membantu mengurangkan beban kewangan rakyat.

“Jika kerajaan sudah memutuskan untuk memperluas subsidi elektrik, kerajaan sepatutnya mengambil langkah lebih praktikal dengan menaikkan had itu terus kepada 1,000 kWh,” katanya.

Dalam pada itu, Lim turut menggesa kerajaan mengkaji semula langkah mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) apabila penggunaan elektrik melebihi had yang ditetapkan.

Menurutnya, isi rumah biasa tidak sepatutnya berdepan beban cukai tambahan hanya kerana bil elektrik bulanan mereka melebihi paras berkenaan.

Beliau berkata, tekanan terhadap perbelanjaan elektrik isi rumah semakin meningkat dan kerajaan tidak seharusnya menambah beban kehidupan rakyat melalui pengenaan SST.

“Sekiranya SST dikenakan terhadap penggunaan elektrik isi rumah, perkara itu sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles