MELAKA: Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan perlembagaan pindaan yang membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Melaka.
Khoo berkata, beliau bersama empat bekas ADUN DAP dan dua peguam hadir ke Bangunan Seri Negeri Melaka pada Isnin bagi menyampaikan writ saman kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.
Menurutnya, tindakan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Melaka dalam tempoh seminggu selepas kerajaan negeri menyiarkan enakmen pindaan berkenaan di laman web rasminya pada awal Oktober.
Beliau berkata, saman itu difailkan atas kapasitinya sebagai pengundi berdaftar di Melaka bersama bekas ADUN Bukit Katil, Adly Zahari.
“Pindaan ini membenarkan sehingga tujuh orang ADUN lantikan yang tidak dipilih melalui pilihan raya untuk menyertai persidangan, jawatankuasa dan mengundi, dengan kuasa perundangan yang pada hakikatnya setara dengan wakil rakyat yang dipilih,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Menurut Ahli Parlimen Kota Melaka itu, pelantikan ADUN lantikan itu menimbulkan persoalan mengenai mandat rakyat dan legitimasi demokrasi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Pendirian kami jelas: legitimasi demokrasi dalam DUN mesti berasaskan mandat rakyat melalui peti undi,” katanya.
Beliau berkata, ADUN lantikan tidak mendapat mandat pilihan raya daripada pengundi dan tidak mewakili mana-mana kawasan pilihan raya, namun mereka boleh mempengaruhi keputusan perundangan serta imbangan politik dalam DUN.
Sehubungan itu, katanya, mahkamah perlu menentukan sama ada pindaan berkenaan bercanggah dengan struktur asas Perlembagaan Negeri Melaka dan/atau Perlembagaan Persekutuan.
“Sama ada pindaan ini bercanggah dengan struktur asas Perlembagaan Negeri Melaka dan/atau Perlembagaan Persekutuan, perkara ini perlu diputuskan oleh mahkamah,” katanya.
Tambah beliau, tindakan itu bertujuan mempertahankan nilai undi rakyat, mandat wakil rakyat yang dipilih dan hak rakyat menentukan hala tuju politik melalui pilihan raya.
“Undi rakyat mesti dihormati. Prinsip demokrasi tidak boleh dikompromi!” katanya.










