Jerebu: UASA Minggu Depan Ditangguhkan

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan berlangsung minggu depan susulan keadaan jerebu yang masih melanda negara.

Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kebimbangan ibu bapa dan penjaga terhadap kesihatan serta keselamatan anak-anak, khususnya murid yang perlu hadir ke sekolah bagi menduduki pentaksiran berkenaan.

Dalam kenyataan hari ini, KPM memaklumkan pihak sekolah diberikan kelonggaran untuk menyusun semula jadual UASA memandangkan pentaksiran itu dikendalikan oleh sekolah masing-masing.

“Jadual baharu akan dimaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga,” menurut kenyataan itu.

KPM turut mengakui ibu bapa berdepan dilema dalam memastikan kesihatan anak-anak terpelihara, selain bimbang ketidakhadiran ke sekolah boleh menyebabkan mereka terlepas pentaksiran berkenaan.

Sehubungan itu, kementerian menegaskan kesihatan dan keselamatan murid kekal menjadi keutamaan, tanpa mengabaikan keperluan memastikan proses pentaksiran dapat dilaksanakan dengan teratur.

Penangguhan itu memberi ruang kepada pihak sekolah untuk menyusun semula pelaksanaan UASA dengan mengambil kira keadaan semasa serta kebajikan murid.

BBerkaitan

Latest articles