Nota Diplomatik Langkah Terakhir, Malaysia Pilih Diplomasi Tangani Jerebu

REMBAU: Malaysia tidak menolak kemungkinan menghantar Nota Diplomatik kepada Indonesia berhubung isu jerebu rentas sempadan, namun tindakan itu hanya akan dipertimbangkan sebagai langkah terakhir selepas usaha diplomasi dilaksanakan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kerajaan ketika ini tidak bercadang mengambil tindakan sedemikian atau memulakan tindakan undang-undang kerana mahu memelihara hubungan baik antara kedua-dua negara.

Menurutnya, pendekatan melalui perbincangan dan saluran diplomatik lebih sesuai bagi menangani isu berkenaan berbanding tindakan yang boleh menjejaskan hubungan dua hala.

“Kita belum sampai ke tahap itu (menghantar Nota Diplomatik). Cakap dalam Parlimen senanglah dan kalau nak buat begitu, maknanya kita dah bersedia untuk memutuskan hubungan.

“Hubungan rapat kedua-dua negara ini perlu juga dijaga. Jadi, tidaklah sampai kita nak menghantar Nota Diplomatik atau tindakan undang-undang dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan bantuan pelajaran, am dan warga emas peringkat Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau, hari ini.

Mohamad mengulas gesaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap Indonesia susulan pembakaran terbuka yang didakwa menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di rantau ini.

Syed Saddiq turut mencadangkan supaya Malaysia mengemukakan bantahan diplomatik secara rasmi dengan sokongan negara ASEAN lain yang turut terjejas, khususnya Singapura, dan tidak hanya bergantung pada pertemuan antara pemimpin kedua-dua negara.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya di Indonesia, manakala Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri turut menghubungi Presiden Indonesia bagi membincangkan isu jerebu berkenaan.

“Pendekatan lebih cantik dan diplomasi itu adalah kaedah terbaik dan bukannya dengan menghantar Nota Diplomatik,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles