MCA Cabar Chong Zhemin Buktikan Ketua Kampung Islam Ancam Budaya Cina

KUALA LUMPUR: Pemuda MCA mencabar Ahli Parlimen DAP Kampar, Chong Zhemin, mengemukakan bukti berhubung dakwaannya yang mengaitkan pelantikan ketua kampung beragama Islam di sebuah Kampung Baru Cina di Negeri Sembilan dengan kebimbangan terhadap budaya masyarakat Cina.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, berkata kenyataan Chong yang membangkitkan persoalan mengenai kebebasan masyarakat Cina menikmati makanan tradisional sempena Tahun Baharu Cina berisiko mencetuskan keresahan serta menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Beliau menegaskan ketua kampung tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menggubal undang-undang atau melarang sewenang-wenangnya makanan yang menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat setempat.

“Adakah Chong mempunyai bukti bahawa ketua kampung tersebut berhasrat melarang makanan itu? Jika tiada, mengapa perlu membangkitkan keresahan kaum?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Neow, tindakan mempersoalkan pelantikan seseorang berdasarkan agama bercanggah dengan prinsip kepelbagaian yang sering diperjuangkan DAP, sedangkan seseorang pemimpin sepatutnya dinilai berdasarkan keupayaan, integriti dan tanggungjawab.

Beliau turut menegaskan masyarakat Kampung Baru Cina berhak menikmati pembangunan yang adil serta mempertahankan tradisi mereka, namun prinsip sama perlu dihormati tanpa mengira bangsa dan agama.

Sehubungan itu, beliau menggesa Chong mengemukakan hujah berasaskan fakta dan tidak menjadikan pelantikan berkenaan sebagai modal politik sehingga menimbulkan ketakutan yang belum terbukti.

Kontroversi itu tercetus selepas calon yang disyorkan PAS dilantik sebagai ketua Kampung Baru Mahsan di Jempol, Negeri Sembilan, sekali gus mencetuskan bantahan DAP dan sebahagian penduduk.

Chong sebelum ini dilaporkan menyindir MCA dengan ucapan “tahniah” susulan pelantikan itu yang didakwa menyebabkan parti berkenaan kehilangan satu jawatan ketua Kampung Baru Cina kepada PAS.

“ Keharmonian antara masyarakat Melayu dan Cina, Islam dan bukan Islam tidak seharusnya dikorbankan demi kepentingan politik,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles