KUALA LUMPUR: Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan memisahkan peranan Peguam Negara daripada Pendakwa Raya menjadi antara perkara penting yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-273 di Istana Negara.
Mesyuarat selama dua hari yang bermula semalam itu turut meneliti cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026.
Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini, mesyuarat berkenaan memperhalusi kertas untuk rundingan mengenai cadangan pindaan tersebut.
Majlis Raja-Raja turut dimaklumkan mengenai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang menyentuh pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, selain cadangan pindaan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001.
Mesyuarat dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, manakala Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berangkat menghadiri mesyuarat pada hari kedua dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam perkembangan berkaitan keselamatan negara, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail, menyampaikan taklimat mengenai situasi keselamatan semasa, manakala Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, mempersembahkan taklimat pertahanan negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, turut mempersembahkan taklimat mengenai perkembangan ekonomi kepada Majlis Raja-Raja.
Antara agenda lain yang dibincangkan ialah pelantikan hakim Mahkamah Khas dan penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Mesyuarat itu juga membincangkan cadangan tarikh mesyuarat bagi 2027 serta perkara berkaitan pentadbiran hal ehwal Islam di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, termasuk peluasan skop pengauditan Kumpulan Wang Zakat.
Mesyuarat berkenaan dihadiri semua Sultan, Raja dan Yang Dipertua Negeri, selain beberapa wakil institusi diraja.
Antara yang hadir ialah Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin; Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, yang mewakili Sultan Kelantan; serta Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim, yang mewakili Pemangku Sultan Johor.










