Kahwin Dengan Melayu Tidak Automatik Dapat Status Bumiputera

KUALA LUMPUR: Warganegara asing beragama Islam yang berkahwin dengan warganegara Malaysia berketurunan Melayu tidak secara automatik mendapat status keturunan Melayu atau kelayakan menikmati hak dan keistimewaan Bumiputera.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkahwinan berkenaan tidak mengubah keturunan asal warganegara asing terbabit.

Menurutnya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga tidak akan membuat penentuan keturunan individu warga asing kepada keturunan Melayu hanya berdasarkan perkahwinan tersebut.

“Penentuan sama ada seseorang individu itu berstatus Bumiputera serta kelayakan untuk menikmati sesuatu hak atau keistimewaan yang diperuntukkan kepada Bumiputera adalah di luar bidang kuasa JPN.

“Perkara tersebut tertakluk kepada undang-undang, dasar dan syarat yang ditetapkan oleh agensi atau pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (Labis) yang meminta penjelasan sama ada warganegara asing beragama Islam yang berkahwin dengan warganegara Malaysia berketurunan Melayu boleh dianggap sebagai Bumiputera serta menikmati hak atau keistimewaan berkaitan dan syarat yang perlu dipenuhi.

Bagaimanapun, Saifuddin Nasution berkata, bagi anak yang dilahirkan hasil perkahwinan sah di sisi undang-undang Malaysia antara warganegara asing beragama Islam dengan warganegara Malaysia berketurunan Melayu, ibu atau bapa boleh memilih keturunan yang hendak didaftarkan untuk anak berkenaan.

Menurutnya, pendaftaran itu boleh dibuat mengikut keturunan ibu atau bapa, sama ada berketurunan Melayu atau mengikut keturunan warganegara asing berkenaan.

Beliau menjelaskan, penentuan status Bumiputera dan kelayakan menikmati keistimewaan berkaitan perlu dirujuk kepada undang-undang serta syarat yang ditetapkan oleh agensi berkuasa, dan bukan ditentukan semata-mata berdasarkan status perkahwinan atau agama seseorang.

BBerkaitan

Latest articles