KUALA LUMPUR: Import Malaysia dari China meningkat sebanyak 41.2 peratus kepada RM308.12 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus mendorong penilaian lanjut terhadap risiko pengalihan perdagangan dan amalan lambakan import.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, peningkatan tarif global dan pelaksanaan langkah perlindungan perdagangan oleh negara ekonomi utama berpotensi menyebabkan eksport yang sukar memasuki pasaran tertentu dialihkan ke pasaran alternatif, termasuk Malaysia dan rantau ASEAN.
Menurutnya, jumlah import keseluruhan Malaysia dalam tempoh berkenaan meningkat 22.4 peratus kepada RM1.158 trilion.
“Peningkatan import ini didorong terutamanya oleh barangan pengantara serta barangan modal bagi menyokong aktiviti pengeluaran dan pelaburan yang naik sebanyak 15.6 peratus, berbanding barangan pengguna yang hanya meningkat sebanyak 3.7 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (Bachok) yang meminta penilaian terkini mengenai kesan pengalihan perdagangan dan lambakan import susulan peningkatan tarif global, termasuk sektor yang mengalami peningkatan ketara import barangan murah serta langkah melindungi industri tempatan.
Johari berkata, statistik peningkatan import itu mendorong Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjalankan penilaian lanjut bagi menentukan sama ada kenaikan berkenaan melibatkan amalan perdagangan tidak adil yang memudaratkan pengeluar tempatan.
Menurutnya, sektor besi dan keluli antara industri yang kerap berdepan tekanan akibat lambakan import barangan pengantara.
Sehubungan itu, kerajaan melalui MITI telah menjalankan siasatan anti-lambakan terhadap import dari China, Chinese Taipei, Republik Korea, Jepun, India dan Viet Nam.
“Pada masa ini, terdapat sembilan langkah anti-lambakan yang sedang berkuat kuasa di Malaysia, dengan lapan daripadanya melibatkan produk besi dan keluli seperti dawai keluli serta kepingan keluli atau besi bergalvani, manakala satu lagi melibatkan produk plastik dan resin.
“Produk-produk ini pada umumnya merupakan input perantara dalam rantaian pengeluaran dan bukannya produk akhir atau barangan pengguna murah yang dijual terus kepada pengguna,” katanya.
Dalam usaha melindungi industri tempatan, Johari berkata, kerajaan akan terus memantau trend lambakan dan harga import secara berterusan.
Katanya, sekiranya siasatan membuktikan berlaku kemudaratan atau lonjakan import yang memenuhi kriteria undang-undang tempatan serta peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), tindakan remedi perdagangan akan diambil.
Antara langkah berkenaan termasuk pengenaan duti anti-lambakan, duti timbal balas atau duti pelindung.
Beliau berkata, kerajaan turut menambah baik kerangka perundangan menerusi Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025 [Akta 504], selain mengkaji semula Peraturan-peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 bagi memastikan instrumen remedi perdagangan kekal relevan dan berkesan.
Menurutnya, sejak Malaysia menganggotai WTO pada 1995, kerajaan telah menguatkuasakan 77 langkah anti-lambakan dan tiga langkah pelindung bagi memelihara ekosistem pembuatan domestik.
Malah, sebanyak 38 siasatan anti-lambakan telah dimulakan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini sebagai sebahagian daripada usaha membanteras amalan perdagangan tidak adil.
Tambah beliau, langkah remedi perdagangan itu turut melengkapi inisiatif kerajaan sedia ada, termasuk pengenaan cukai jualan, cukai barangan bernilai rendah serta penguatkuasaan piawaian keselamatan terhadap barangan import.
“MITI akan terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan dan pemain industri bagi memantau perkembangan ini.
“Sekiranya terdapat bukti bahawa pengalihan perdagangan atau amalan perdagangan tidak adil telah menyebabkan kemudaratan kepada industri tempatan, kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk menggunakan instrumen remedi perdagangan selaras dengan undang-undang Malaysia dan peraturan WTO,” katanya.










