KUALA LUMPUR: DAP tidak pernah mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu mahupun kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, sebaliknya menghormati semua perkara itu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Wakil rakyat DAP, RSN Rayer, berkata pendirian parti itu turut merangkumi penghormatan terhadap institusi Raja Melayu dan bahasa Melayu.
Rayer (PH-Jelutong) berkata demikian ketika mempertahankan pendirian DAP berhubung peningkatan peruntukan pembangunan Islam daripada RM2.6 bilion pada 2026 kepada RM3.1 bilion dalam Belanjawan 2027 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas kelulusan peruntukan RM5 juta bagi pembinaan masjid baharu di kawasan Parlimen Jelutong.
Pada masa sama, beliau menyambut baik peruntukan RM100 juta untuk sekolah Cina, RM50 juta bagi sekolah Tamil serta RM80 juta untuk penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, sebagai menjawab pertanyaan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai pendirian DAP terhadap peningkatan peruntukan pembangunan Islam.
Dalam perkembangan lain, Rayer menggesa kerajaan memperluas peluang pengambilan rakyat berbangsa Cina dan India dalam perkhidmatan awam bagi memastikan komposisi penjawat awam lebih mencerminkan kepelbagaian masyarakat negara ini.
Menurutnya, berdasarkan angka yang dikemukakan, penjawat awam Melayu membentuk 77.7 peratus daripada keseluruhan jumlah, diikuti kaum Cina sebanyak 5.4 peratus, India (3.76 peratus) dan lain-lain kaum (13.2 peratus).
Katanya, lebih ramai rakyat Malaysia daripada kaum Cina dan India perlu digalakkan menyertai sektor awam bagi memperkukuh prinsip keterangkuman dalam pentadbiran negara.
“Lebih ramai rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India perlu digalakkan untuk berkhidmat sebagai penjawat awam supaya Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara untuk semua rakyat,” katanya.










