Sultan Selangor Harap Perjanjian Pengurusan Sisa Pepejal Dimuktamad Segera

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap perjanjian tiga pihak antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat dimuktamadkan segera bagi memastikan rakyat menikmati perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang lebih baik.

Baginda bertitah, semua pihak perlu memastikan pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di Selangor tidak menjejaskan prestasi serta kualiti perkhidmatan sedia ada.

Menurut kenyataan akhbar Istana Alam Shah pada Isnin, Sultan Sharafuddin telah berkenan menerima menghadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada 8 Oktober lalu.

Baginda turut menerima menghadap Menteri Besar Selangor bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam pertemuan berasingan pada 10 Oktober bagi mendapatkan perkembangan pelaksanaan akta berkenaan.

Kedua-dua pertemuan itu merupakan susulan lawatan Baginda ke loji sisa kepada tenaga atau waste-to-energy (WTE), Amager Bakke (CopenHill) di Copenhagen, Denmark baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, Baginda telah meneliti perkembangan pelaksanaan Akta 672 daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, selain menyambut baik persiapan Selangor untuk menjadi negeri kelapan menerima pakai akta berkenaan susulan pengumuman terbaharu KPKT.

Dalam sesi menghadap itu, Nga memaklumkan bahawa usaha menyeluruh di peringkat PBT telah selesai dan semua pihak berkepentingan komited untuk memuktamadkan proses berkenaan.

Selepas perjanjian tiga pihak dimeterai, pelantikan pihak berkepentingan berkaitan akan dilaksanakan, sekali gus membolehkan Selangor menikmati piawaian perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang lebih tinggi.

Usaha itu turut disokong pembiayaan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan menerusi KPKT.

Kenyataan itu memaklumkan pengaturan sama telah dilaksanakan sejak 2011 di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pahang, Kedah serta Perlis.

Baginda turut menegaskan tiada kompromi terhadap prestasi dan kualiti perkhidmatan selepas perjanjian dimeterai kelak.

“Tidak ada sebarang kompromi serta kemerosotan dari segi prestasi dan kualiti perkhidmatan pengurusan sisa dan pembersihan awam, termasuk dari segi ketepatan masa dan frekuensi kutipan,” menurut kenyataan tersebut.

Perkara itu, jelas kenyataan berkenaan, perlu diberi perhatian serius memandangkan Selangor mempunyai jumlah penduduk yang besar dan bergantung kepada perkhidmatan kutipan sisa serta pembersihan awam di seluruh negeri.

Dalam pada itu, Baginda berharap perancangan pembangunan loji WTE di Selangor dapat diteruskan dan disegerakan melalui bantuan serta pemudahcaraan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan dalam tempoh terdekat.

Baginda percaya bahawa muafakat dan persefahaman antara semua pihak berkepentingan mampu menghasilkan penyelesaian yang dipersetujui bersama demi kepentingan rakyat serta pembangunan Selangor yang lebih maju.

BBerkaitan

Latest articles