KUCHING: Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan kadar Pemberian Khas Interim di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi Sabah dan Sarawak kepada RM1.5 bilion masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai atas semangat setia kawan, persahabatan dan semangat Malaysia untuk menjaga kepentingan serta kebajikan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.
Menurut beliau, peningkatan peruntukan itu diluluskan sementara perundingan dan tuntutan berhubung perkara berkenaan terus dijalankan serta dimuktamadkan.
”Untuk Sarawak, saya umumkan malam ini interim RM1.5 bilion. Itu rahsia persahabatan dan perundingan yang baik, tidak ada masalah yang tidak boleh dilerai dan diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 di Kuching, malam tadi.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.










