“Malaysia Masih Perlukan Saya Ke LA28 Atau Tidak?” – Azizulhasni Desak KBS, MSN Beri Jawapan

KUALA LUMPUR: “Masih perlukan khidmat saya atau tidak?”

Persoalan itu kini dilemparkan secara terbuka jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung kedudukannya dalam Misi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Azizulhasni menegaskan, keputusan untuk meneruskan cabaran ke LA28 bukan lagi soal sama ada beliau mahu terus berlumba atau sebaliknya, sebaliknya persoalan utama adalah sama ada kerajaan masih melihat khidmatnya diperlukan untuk misi berkenaan.

Beliau berkata, kelewatan KBS dan MSN memberikan keputusan rasmi bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah membuka ruang kepada pelbagai spekulasi mengenai masa depannya dalam arena berbasikal trek.

Lebih keras, Azizulhasni menyifatkan pengurusan isu berkenaan sebagai kurang profesional dan tidak cekap selepas mendakwa lebih dua bulan berlalu sejak perbincangan awal pada 23 Jun lalu.

Menurutnya, tempoh 66 hari itu sepatutnya sudah cukup untuk KBS dan MSN memberikan pendirian yang jelas.

“Bagi saya pihak KBS dan MSN kurang profesional dan kurang cekap sehingga perkara berlarutan seperti ini.

“Saya sendiri tidak mahu perkara sampai ke tahap ini dan lebih suka untuk berdiam diri serta fokus kepada latihan sahaja,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Azizulhasni turut secara terbuka mengkritik Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, yang didakwanya tidak memainkan peranan sewajarnya dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Maaf saya katakan yang pihak Menteri KBS, YB Taufiq Johari sendiri tidak memainkan peranan penting beliau dalam isu ini. Adakah beliau lebih selesa menggunakan pendekatan mendengar sebelah pihak sahaja terutamanya ‘dinasour-dinasour’ di sekelilingnya?” katanya.

Menurut Azizulhasni, kelewatan mendapatkan keputusan rasmi memberi kesan langsung terhadap persediaannya menghadapi LA28.

Beliau perlu menyusun perancangan logistik latihan, menentukan strategi bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Shanghai yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik LA28, selain mengadakan perbincangan dengan penaja serta keluarganya.

Katanya, semua perancangan itu memerlukan kepastian mengenai hala tuju kariernya dan tidak boleh terus dibiarkan tergantung.

Azizulhasni turut menegaskan beliau tidak menuntut peruntukan kewangan besar daripada kerajaan bagi meneruskan misi berkenaan.

Sebaliknya, katanya, sebahagian besar pembiayaan kariernya selama ini mendapat sokongan penaja swasta, manakala perkara yang diperlukan daripada sistem sukan negara lebih tertumpu kepada sokongan latihan dan kelengkapan pemulihan khusus bersesuaian dengan faktor usia.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow itu menegaskan pendiriannya tidak berubah.

“Saya sekali lagi pendirian saya tetap sama, bagi saya situasi sekarang sebenarnya adalah bukan soal saya ingin meneruskan kayuhan ke LA28 ataupun tidak, akan tetapi situasinya adalah sama ada Malaysia memerlukan khidmat saya ataupun tidak untuk ke LA28.

“Saya menunggu jawapan terbuka rasmi daripada pihak KBS dan MSN,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles