36 Rakyat Malaysia Di Tibet Disahkan Selamat, Usaha Kesan Mangsa Di Kawasan Bencana Diteruskan

PUTRAJAYA: Seramai 36 rakyat Malaysia yang berada di Tibet, China dilaporkan selamat daripada bencana banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda kawasan berhampiran sempadan Nepal-China.

Bagaimanapun, Kementerian Luar tidak mahu membuat sebarang kesimpulan terburu-buru apabila identiti serta status kesemua individu berkenaan masih dalam proses pengesahan dengan pihak berkuasa China.

Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, berkata kementerian turut menjalankan semakan silang bagi memastikan sama ada 36 rakyat Malaysia itu mempunyai pertindihan dengan senarai individu yang masih belum dapat dihubungi di Nepal.

Katanya, langkah berkenaan penting bagi mendapatkan angka sebenar rakyat Malaysia yang masih hilang, sudah diselamatkan atau berada dalam keadaan selamat di kedua-dua kawasan terjejas.

“Kita sedang buat pemeriksaan silang sebab maklumat ini baharu kita terima. Kita akan kemas kini sekiranya terdapat nama yang sama, termasuk angka sebenar rakyat kita yang masih hilang atau sudah selamat, sama ada di Nepal ataupun Tibet,” katanya memetik Bernama hari ini.

Perkembangan itu turut menyebabkan skop pemantauan dan penyelarasan Wisma Putra diperluaskan ke kawasan di sebelah sempadan China.

Penyelarasan kini membabitkan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi susulan maklumat bahawa terdapat rakyat Malaysia yang mungkin menggunakan laluan perjalanan merentasi China dan India.

Dalam pada itu, Bilik Operasi Kementerian Luar di Putrajaya terus beroperasi 24 jam bagi menyelaras maklumat, membantu rakyat Malaysia yang berada di kawasan bencana serta memastikan perkembangan sahih dapat disampaikan kepada keluarga mereka.

Syed Mohamad Hasrin menegaskan pihaknya masih mendapatkan pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa China berhubung kedudukan dan keselamatan rakyat Malaysia di Tibet sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Mengenai kemungkinan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, beliau berkata tindakan itu belum boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa kerana perlu mengambil kira penyelarasan dengan pihak berkuasa Nepal dan pengendali pelancongan.

Status dokumen perjalanan mereka juga perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah mengesan serta memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas, terutama ketika keadaan cuaca dan akses ke beberapa lokasi masih terbatas.

Sementara itu, Malaysia melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang menilai bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada Nepal.

Sebarang bantuan akan disesuaikan dengan keperluan yang dikenal pasti kerajaan Nepal dan hanya disalurkan melalui saluran rasmi selepas mengambil kira pertimbangan serta keutamaan negara berkenaan.

Pihak Nepal setakat ini memaklumkan bahawa mereka mempunyai persediaan mencukupi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat, namun keperluan tambahan termasuk sokongan kewangan dan bentuk bantuan lain masih boleh dipertimbangkan.

Malaysia turut menyatakan kesediaan untuk memberikan sokongan sekiranya Nepal memerlukan bantuan tambahan.

Kementerian Luar pada masa sama sedang menilai kesiapsiagaan agensi negara, termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), manakala Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut bersedia untuk digerakkan jika diperlukan.

Selaras titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, kementerian akan terus memastikan maklumat yang telah disahkan mengenai rakyat Malaysia terjejas disampaikan kepada ahli keluarga.

Kementerian pada masa sama mengingatkan media dan orang awam supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan keluarga mangsa.

Sebaliknya, perkembangan berkaitan keselamatan serta keberadaan rakyat Malaysia di kawasan bencana hendaklah dirujuk kepada kenyataan rasmi Kementerian Luar.

“Pada masa sama, pihak media dan orang awam diminta supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, dan sebaliknya merujuk kepada kenyataan rasmi Kementerian Luar bagi mendapatkan perkembangan terkini.

“Kementerian akan terus memberikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa, tertakluk kepada maklumat yang telah disahkan,” katanya.

Semalam, Sultan Ibrahim menitahkan Wisma Putra mengambil segala tindakan sewajarnya susulan laporan rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir besar di Rasuwa, Nepal.

Baginda turut menitahkan supaya maklumat terkini berkaitan keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia berkenaan disampaikan kepada ahli keluarga masing-masing.

BBerkaitan

Latest articles