KAZAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan bahawa memorandum persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat dan Iran berpotensi menjadi titik tolak penting ke arah menghentikan konflik serta memulihkan keamanan di Asia Barat.
Menurut beliau, perkembangan rundingan tersebut dilihat semakin positif meskipun persetujuan muktamad antara kedua-dua negara masih perlu dicapai dalam tempoh maksimum 60 hari.
Anwar berkata keyakinan itu berdasarkan maklumat yang diterimanya secara langsung daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif yang memainkan peranan sebagai pengantara utama dalam proses rundingan berkenaan.
“Tempoh 60 hari itu tidak lama, jadi sama-sama kita doakan. Berdasarkan maklumat Perdana Menteri Pakistan kepada saya, beliau terlibat secara langsung dalam setiap peringkat rundingan dan keadaan kini kelihatan lebih positif,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN–Russia Summit ke-35 pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan bahawa pandangan positif terhadap usaha damai itu juga dikongsi oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam pertemuan mereka sebelum ini.
Walaupun mengakui terdapat pelbagai cabaran memandangkan ia turut melibatkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Anwar berkata secara keseluruhan terdapat keyakinan bahawa perjanjian tersebut mampu dimuktamadkan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan masyarakat antarabangsa tidak boleh alpa terhadap krisis kemanusiaan yang terus berlaku di wilayah konflik.
“Kita perlu mengingatkan dunia supaya tidak melupakan penderitaan rakyat di Gaza dan Lubnan akibat kekejaman rejim Zionis Israel yang berterusan,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Luar melalui Ministry of Foreign Affairs Malaysia memaklumkan Malaysia menyambut baik pengumuman MoU berkenaan dan menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan di Asia Barat serta membuka ruang kepada penyelesaian lebih menyeluruh.
Wisma Putra turut merakamkan penghargaan kepada beberapa negara termasuk Pakistan, Qatar, Mesir, Arab Saudi dan Turkiye atas peranan mereka dalam usaha diplomatik tersebut.
Anwar kini berada di Kazan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia ke-35 yang berlangsung selama dua hari, sebelum dijadualkan meneruskan lawatan rasmi ke Turkmenistan atas jemputan Presiden Serdar Berdimuhamedov. – BERNAMA










