Sidang DUN Negeri Sembilan Ditangguh, Tarikh Baharu Tunggu Perkenan Tuanku

SEREMBAN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 yang baharu sahaja dirasmikan hari ini oleh Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, ditangguhkan ke satu tarikh lain yang akan diumumkan kemudian.

Keputusan penangguhan itu disahkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sejurus selesai istiadat pembukaan sidang berkenaan.

Menurut beliau, penangguhan dibuat mengambil kira keadaan semasa dan tarikh baharu akan ditentukan pada waktu yang lebih sesuai.

“Persidangan ini ditangguhkan sehingga satu tarikh yang bersesuaian mengikut keadaan,” katanya ringkas ketika ditemui media.

Dalam perkembangan sama, Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, memaklumkan bahawa sidang hari ini diadakan bagi memenuhi keperluan rasmi sebelum ia boleh ditangguhkan.

Beliau menjelaskan, keputusan tersebut dibuat atas pertimbangan beliau sebagai Speaker Dewan, manakala tarikh baharu akan ditetapkan selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz.

“Ini merupakan persidangan pertama bagi penggal keempat. Selepas perkenan Tuanku diperoleh untuk tarikh baharu, notis akan diedarkan semula kepada semua pihak,” katanya.

Terdahulu, istiadat perasmian berlangsung tanpa kehadiran Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin, berbeza daripada amalan kebiasaan.

Ketidakhadiran itu mencetuskan perhatian susulan kemelut melibatkan institusi Undang Luak, termasuk dakwaan penggunaan kuasa untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz, selain isu berkaitan kedudukan Undang Sungei Ujong yang dilaporkan telah dipecat.

BBerkaitan

Latest articles