Hannah Enggan Ulas Permohonan Pengampunan Baharu Difailkan Najib

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, memaklumkan beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung laporan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengemukakan permohonan pengampunan baharu.

Menurutnya, ketiadaan butiran lanjut menyebabkan beliau memilih untuk tidak memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut buat masa ini.

“Saya tidak mempunyai maklumat terperinci, jadi saya tidak mahu mengulas,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sijil pemilikan Program Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan di Desa Rejang, hari ini.

Terdahulu, laporan media memetik sumber yang mendakwa Najib telah memfailkan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, dipercayai dibuat sepanjang bulan Ramadan, dengan salinan turut dihantar ke Istana Negara.

Namun, butiran lanjut mengenai skop permohonan itu masih tidak jelas, sama ada ia melibatkan kes SRC International Sdn Bhd, skandal 1MDB, atau kedua-duanya sekali.

Permohonan tersebut dilaporkan turut memohon pembebasan penuh daripada semua kesalahan jenayah.

Mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberi pengampunan, penangguhan atau pengurangan hukuman, selain mempengerusikan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak Ogos 2022.

Bagaimanapun, hukuman tersebut kemudiannya dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta oleh Lembaga Pengampunan.

Pada Disember lalu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda kira-kira RM11.4 bilion terhadap Najib selepas didapati bersalah dalam kes berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Hukuman tersebut dijadual bermula selepas tamat tempoh hukuman kes SRC, namun Najib kini sedang mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles