KUALA LUMPUR,—Ahli PArlimen Pandan yang juga bekas Menteri ekonomi, Datuk Rafizi Ramli mengesahkan beliau telah menerima surat tuntutan daripada Aminul Islam Abdul Nor, pengasas Bestinet Sdn Bhd, berhubung isu sistem pengambilan pekerja asing.
Menurut Rafizi, surat tuntutan itu menyusuli tindakan saman yang telah difailkan oleh Bestinet terhadap beliau dan kini sedang dalam proses perbicaraan di mahkamah. Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran khusus berkaitan tuntutan tersebut.
“Saya telah meminta pasukan guaman saya untuk mengendalikan perkara ini. Mereka akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan penilaian mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu minggu ini, Rafizi bersama beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan daripada PKR menyatakan pendirian menentang cadangan penganugerahan kontrak baharu kepada Bestinet bagi menggantikan Foreign Workers Centralised Management System, sistem sedia ada yang turut dibangunkan oleh syarikat itu.
Mereka memaklumkan bahawa laporan terdahulu, termasuk oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Laporan Ketua Audit Negara, telah mengenal pasti beberapa kelemahan dalam FWCMS. Antaranya termasuk operasi tanpa kontrak formal untuk tempoh tertentu, kelemahan kawalan sistem serta pengurusan yang tidak memuaskan.
Pada 16 April lalu, Bloomberg LP melaporkan bahawa kerajaan sedang merancang untuk memperkenalkan sistem baharu dikenali sebagai Universal Recruitment Advanced Platform (TURAP), yang dikatakan dibangunkan oleh Bestinet, bagi menggantikan FWCMS dalam mengurus kemasukan pekerja asing ke Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Bestinet dan Aminul Islam sebelum ini turut memfailkan saman fitnah terhadap beberapa organisasi media dan individu susulan laporan berkaitan operasi FWCMS.
Antara organisasi media yang dinamakan dalam saman tersebut termasuk Bloomberg LP, Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd, The Edge Communications Sdn Bhd, MNow Media Sdn Bhd dan Mkini Dotcom Sdn Bhd.










