Semporna perlukan pembangunan lebih tersusun – Abd Hajan

KOTA KINABALU: Isu setinggan, kebersihan dan pengurusan pelancongan di Semporna perlu ditangani secara lebih tegas serta tersusun bagi memastikan daerah itu terus membangun dan kekal sebagai destinasi pelancongan yang dihormati.

Bekas Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sulabayan, Abd Hajan Gurimbang berkata, Semporna sememangnya memiliki keindahan alam, keunikan budaya dan potensi pelancongan yang besar, namun masih berdepan beberapa isu berulang yang menjejaskan imej daerah berkenaan.

Menurutnya, antara isu yang masih membelenggu Semporna termasuk pembangunan yang tidak seimbang, masalah sampah dan kebersihan, pengurusan pelancongan yang belum tersusun sepenuhnya serta aspek keselamatan yang memerlukan perhatian berterusan daripada semua pihak.

“Isu setinggan bukan lagi perkara baharu di Semporna. Ia telah lama menjadi antara cabaran terbesar yang memberi kesan kepada aspek kebersihan, keselamatan, imej pelancongan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

“Perkara ini memerlukan pendekatan yang lebih tegas, tersusun dan berperikemanusiaan agar penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan demi masa depan Semporna yang lebih teratur dan selesa untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak hanya menuding jari atau terus mengeluh tanpa memainkan peranan masing-masing dalam membantu pembangunan daerah tersebut.

Katanya, perubahan hanya dapat dicapai sekiranya masyarakat bersama-sama memelihara kebersihan, menghormati pelancong, mempertahankan keamanan serta mengangkat suara rakyat secara berhemah demi kemajuan Semporna.

Dalam pada itu, beliau turut menegur budaya politik yang disifatkan terlalu dipenuhi permusuhan dan fitnah sehingga menjejaskan perpaduan masyarakat.

“Politik seharusnya menjadi medan untuk berkhidmat kepada rakyat, bukannya gelanggang dendam dan perebutan jawatan.

“Kemenangan tidak membawa makna sekiranya masyarakat semakin berpecah dan hubungan sesama rakyat semakin renggang,” ujarnya.

Tambah beliau, Semporna memerlukan lebih ramai individu yang benar-benar ikhlas mahu melihat daerah itu bangkit dan dihormati, bukannya mereka yang hanya mahu dilihat hebat.

“Sejarah tidak akan mengingati siapa yang paling lantang berbicara, tetapi sejarah akan mengingati mereka yang paling banyak berbakti dan berbuat sesuatu demi tanah kelahirannya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles