Anwar Jamin Bekalan Minyak Negara Stabil Hingga Julai

PERMATANG PAUH: Kerajaan memberi jaminan bekalan minyak dan diesel negara kekal mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Julai depan meskipun konflik geopolitik di Asia Barat terus menggugat kestabilan pasaran tenaga dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan diplomatik baik antara Malaysia dan Iran menjadi antara faktor penting yang membantu kelancaran laluan perdagangan di Selat Hormuz, sekali gus memastikan penghantaran bekalan bahan api ke negara ini tidak terganggu.

Menurut beliau, ketika beberapa negara mula berdepan krisis bekalan sehingga menyebabkan penutupan stesen minyak, Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal.

“Ketika saya menghadiri mesyuarat ASEAN di Cebu, Filipina, saya lihat ramai rakyat beratur di stesen minyak dan kira-kira 400 stesen sudah ditutup.

“Alhamdulillah, keadaan di Malaysia masih stabil dan bekalan minyak serta diesel kita mencukupi sehingga Julai, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lembu Korban bagi Parlimen Permatang Pauh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, hari ini.

Anwar turut menyentuh kesan konflik melibatkan Iran yang diserang rejim Zionis Israel dengan sokongan Amerika Syarikat sehingga menjejaskan beberapa kawasan utama negara itu.

Katanya, Malaysia mengambil pendirian bersimpati terhadap nasib rakyat Iran dan hubungan baik yang terjalin secara tidak langsung membantu memudahkan laluan kapal negara melalui Selat Hormuz sehingga tiba di Pengerang, Johor tanpa gangguan besar.

Dalam pada itu, beliau mengakui ketidaktentuan di Asia Barat memberi kesan langsung kepada kos penghantaran dan insurans, sekali gus mempengaruhi harga barangan di negara ini kerana Malaysia masih bergantung kepada import petroleum.

“Apabila berlaku gangguan di Selat Hormuz, kos insurans dan tambang kapal meningkat. Itu antara faktor yang menyebabkan harga barang naik sedikit sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tetap mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter demi menjaga kebajikan rakyat.

“Cuba beritahu negara mana yang jual minyak lebih murah daripada Malaysia? Tidak ada, kecuali Brunei,” katanya.

Tambah beliau, walaupun berlaku pelarasan harga diesel sebelum ini, kerajaan masih meneruskan bantuan subsidi menerusi inisiatif Budi Madani bagi membantu golongan sasar termasuk petani, nelayan, pengusaha bas sekolah dan pemain industri pengangkutan.

Pada majlis sama, sebanyak 260 ekor lembu korban diagihkan kepada masjid dan surau di sekitar Parlimen Permatang Pauh bagi pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha.

Anwar turut mengingatkan rakyat supaya terus mensyukuri nikmat keamanan dan kestabilan negara selain menghayati semangat pengorbanan serta kebersamaan ketika dunia sedang berdepan cabaran ekonomi dan geopolitik yang tidak menentu.

BBerkaitan

Latest articles