ALOR SETAR: Seorang ejen hartanah yang berdepan pertuduhan cubaan membunuh seorang wanita dengan menikam leher mangsa di Kepala Batas diarahkan menjalani pemerhatian psikiatri selama 30 hari di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Perintah itu dibuat Hakim N Priscilla Hemamalini di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas pihak pembelaan memaklumkan tertuduh, Muhammad Ilhami Badaruddin, 32, sedang menerima rawatan berkaitan masalah kesihatan mental.
Peguam bela, Mohd Hakim Hamran berkata, anak guamnya mempunyai rekod rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Bahiyah dan perlu mengambil ubat secara berkala bagi merawat gangguan mental termasuk Gangguan Obsesif-Kompulsif (OCD) selain mendakwa sering mendengar bisikan suara.
Menurutnya, penilaian lanjut perlu dilakukan bagi memastikan tertuduh berada dalam keadaan waras untuk menghadapi prosiding perbicaraan serta mengemukakan pembelaan.
Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan tidak dibantah pihak pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kedah, Khairul Anuar Abdul Halim bersama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern.
Terdahulu, Muhammad Ilhami mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba membunuh seorang wanita dikenali sebagai Nurul Husna Kasmani, 35, dengan menggunakan pisau di kawasan parkir Sheikh Bistro, Titi Gajah, Kepala Batas pada 17 Mei lalu kira-kira jam 9.19 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun sekiranya sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes.










