KAMPAR,– Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneruskan komitmennya dalam menyantuni rakyat menerusi penganjuran Program Ibadah Korban Kampung Angkat MADANI (KAM) JPA bersama komuniti Kampung Kota Bharu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful bin Ibrahim berkata program yang menjadi antara pengisian utama di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI JPA itu bertujuan memperkasa komuniti luar bandar melalui pendekatan kesejahteraan sosial, kebersamaan dan kerjasama strategik antara kerajaan dan masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Program khidmat komuniti berkonsepkan gotong-royong itu melibatkan penyertaan warga JPA bersama penduduk kampung serta beberapa agensi strategik daerah termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Kampar, Majlis Daerah Kampar, Pejabat Agama Islam Daerah Kampar dan Pejabat Kesihatan Daerah Kampar.
Sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap masyarakat setempat, JPA menyumbangkan lima ekor lembu bagi pelaksanaan ibadah korban tahun ini.
Keseluruhan proses termasuk penyembelihan, melapah, memasak dan pengagihan daging korban dilaksanakan secara bersama dengan penglibatan aktif komuniti kampung bagi memupuk semangat sukarelawan, kebersamaan dan mengeratkan ukhuwah antara semua pihak.
Beliau berkata program seumpama itu bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara penjawat awam dan komuniti setempat.
“Pendekatan turun padang yang dilaksanakan menerusi Program Kampung Angkat MADANI ini membuktikan bahawa JPA bukan sahaja memainkan peranan dalam pembangunan modal insan sektor awam, malah turut menjadi pemudah cara kepada pembangunan komuniti dan kesejahteraan rakyat.
“Semangat gotong-royong dan kebersamaan yang diterjemahkan melalui program ibadah korban ini juga selaras dengan nilai Malaysia MADANI yang menekankan aspek ihsan, hormat dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau lagi, sehingga kini sebanyak RM600,000 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI JPA di Kampung Kota Bharu dan SMK Malim Nawar, Kampar.
Peruntukan itu melibatkan pelbagai projek pembangunan fasiliti awam, pendidikan serta program pembangunan komuniti yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.
Majlis turut diserikan dengan jamuan makan tengah hari yang disediakan secara muafakat bersama komuniti kampung.
JPA dalam kenyataannya menegaskan komitmen untuk terus memperluas pelaksanaan inisiatif berteraskan komuniti di bawah Program Kampung Angkat MADANI menerusi pelbagai program pembangunan sosial, kesejahteraan rakyat dan pemerkasaan komuniti khususnya di kawasan luar bandar.










