KLUANG: Polis membuka siasatan berhubung dakwaan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dipaksa meminum air cili oleh seorang guru di sebuah taska di Taman Sri Kluang.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh, berkata pihaknya menerima laporan daripada penjaga kanak-kanak terbabit pada kira-kira jam 8.46 malam semalam.
Pengadu mendakwa tidak berpuas hati dengan tindakan guru berkenaan yang dipercayai memaksa mangsa meminum air cili sebagai satu bentuk hukuman.
Menurut beliau, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti fakta sebenar kejadian dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan yang diperoleh.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang melibatkan kesalahan berkaitan pengabaian, penderaan atau pendedahan kanak-kanak kepada risiko kecederaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang di talian 07-7784222.
Terdahulu, isu berkenaan tular di media sosial selepas satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook “This is Johor” mendakwa berlaku insiden penderaan dan hukuman fizikal terhadap murid di taska terbabit.










