Pemilik Bangunan Tekad Bawa Isu Sewa Pejabat MP Kubang Kerian Ke Mahkamah

KUALA LUMPUR: Isu mengenai status penyewaan premis Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen (MP) Kubang Kerian menjadi tular di media sosial selepas pemilik bangunan berkenaan tampil membuat dakwaan terbuka berhubung isu kegagalan mematuhi kontrak perjanjian sewa.

​Pemilik bangunan terbabit, Dr. Muhammad Zolkifli mendakwa, pihak penyewa gagal mematuhi syarat-syarat perjanjian yang telah ditetapkan, termasuk didakwa gagal menjelaskan bayaran sewa bulanan mengikut masa yang dipersetujui sejak Oktober tahun lalu.

​Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebooknya, Dr. Muhammad mendakwa beliau terpaksa mengambil tindakan tegas dengan menamatkan kontrak sewaan premis berkenaan ekoran kerugian dan kesulitan yang dihadapi.

​Turut dikongsikan bersama hantaran tersebut adalah salinan surat rasmi bertarikh 4 Mei 2026 yang dihantar kepada firma guaman mewakili Pusat Khidmat Rakyat berkenaan, bagi memaklumkan penamatan kontrak serta-merta atas dakwaan pelanggaran klausa perjanjian sewa premis terbabit.

​Bagaimanapun, dakwaan tersebut mencetuskan perdebatan apabila seorang pengguna media sosial tampil menyangkal kenyataan berkenaan di ruangan komen hantaran tersebut.

​Pengguna Facebook yang dikenali sebagai Nik Muhammad Nik Ahmad mendakwa, tiada sebarang isu tunggakan atau masalah pembayaran sewa berlaku sejak premis itu diambil alih oleh pemilik baharu.

​Sebaliknya, dia mendakwa pihak pejabat parlimen telah menerima notis pengosongan premis yang singkat, iaitu dalam tempoh 24 jam, sedangkan mengikut perjanjian asal, penamatan kontrak memerlukan tempoh notis sekurang-kurangnya dua bulan awal.

​”Semua transaksi sewa, bil utiliti, perbualan WhatsApp, serta dokumen perjanjian ada dalam simpanan pejabat parlimen. Kesemua maklumat dan bukti ini telah pun diserahkan kepada pihak peguam untuk tindakan lanjut,” katanya dalam ruangan komen yang meminta pemilik bangunan tidak memadamkan hantaran berkenaan.

​Sebelum ini, satu surat bertarikh 25 April 2026 yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan hartanah, Srikota Properties Sdn Bhd, telah dihantar kepada Pusat Khidmat Rakyat berkenaan bagi memaklumkan penamatan perjanjian sewa bagi ruang pejabat di Lot 8018, Tingkat 1, Bandar Satelit Islam Pasir Tumboh, berkuat kuasa 1 Mei 2026 atas alasan premis itu akan disewakan kepada pihak ketiga.

​Setakat berita ini ditulis, konflik melibatkan kedua-dua belah pihak dijangka bakal dibawa ke saluran undang-undang selepas pemilik bangunan menyatakan hasrat untuk meneruskan tindakan saman pada minggu hadapan.

BBerkaitan

Latest articles