AS Pertimbang Jual Peluru Berpandu NSM Kepada Malaysia, Bantu Atasi Isu Perolehan Dari Norway

SINGAPURA: Amerika Syarikat (AS) memberi isyarat positif untuk mempertimbangkan penjualan Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia sebagai langkah membantu menyelesaikan isu yang timbul susulan pembatalan lesen eksport sistem persenjataan berkenaan oleh Norway.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jaminan itu disampaikan oleh Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, ketika pertemuan dua hala yang berlangsung di luar acara Dialog Shangri-La (SLD) Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) ke-23 di Singapura.

Menurut beliau, Malaysia telah membangkitkan kebimbangan berhubung perolehan NSM daripada Norway dan mendapatkan pandangan Washington mengenai jalan penyelesaian yang boleh dipertimbangkan.

“Kita telah memohon pandangan AS bagi membantu menangani isu yang sedang dihadapi. Seperti yang diketahui, terdapat syarikat berpangkalan di AS yang turut menghasilkan sistem misil yang sama.

“Kita juga bertanya sama ada AS bersedia membenarkan penjualan misil tersebut kepada Malaysia sebagai alternatif bagi menyelesaikan masalah yang timbul,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, kerajaan Norway dilaporkan menarik balik lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM serta sistem pelancarnya kepada Malaysia atas faktor keselamatan negara berkenaan.

Berdasarkan maklumat Kongsberg Defence & Aerospace (KDA), kontrak pembekalan NSM kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dimeterai pada April 2018 dengan nilai 124 juta euro (kira-kira RM571.9 juta). Sistem itu dirancang untuk melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) baharu milik TLDM.

Dalam pertemuan yang sama, Mohamed Khaled berkata AS turut mencadangkan kerjasama lebih erat dalam aspek Maritime Domain Awareness (MDA), termasuk perkongsian maklumat bagi memperkukuh pemantauan dan keselamatan maritim Malaysia.

Sementara itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan pertahanan kedua-dua negara.

Menurutnya, antara perkara yang disentuh termasuk penubuhan Joint Planning Committee, peluasan perkongsian maklumat strategik serta persediaan menjelang mesyuarat High Level Committee (HLC) Malaysia-Australia dan Five Power Defence Arrangements (FPDA) yang akan datang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Australia atas pelaksanaan National Defence Strategy 2026 (NDS 2026) dan Integrated Investment Program 2026 (IIP 2026), yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled memaklumkan Malaysia dan Kanada juga bersedia mempertingkatkan hubungan pertahanan menerusi satu kerangka kerjasama yang lebih formal.

Katanya, kedua-dua negara sedang meneliti cadangan untuk memeterai perjanjian rasmi bagi memperkukuh kerjasama pertahanan, memandangkan hubungan sedia ada ketika ini tidak berasaskan sebarang perjanjian khusus.

Dialog Shangri-La IISS 2026 yang berlangsung di Hotel Shangri-La Singapura menghimpunkan pemimpin pertahanan, ketua angkatan tentera dan diplomat dari pelbagai negara bagi membincangkan cabaran keselamatan serta perkembangan strategik di peringkat serantau dan global.

BBerkaitan

Latest articles