Hasil Dana Haram Dipulang Semula Untuk Pendidikan, Kesihatan Rakyat – PM

​PUTRAJAYA: Keseluruhan dana berbilion ringgit yang dirampas daripada hasil haram, rasuah dan penyelewengan menerusi keputusan badan kehakiman akan dipulangkan semula kepada rakyat, terutamanya bagi memantapkan sektor pendidikan dan kesihatan awam negara.

​Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan membiarkan kekayaan negara yang dirompak terus hilang, sebaliknya komited mengembalikan setiap sen hasil berkenaan demi kesejahteraan masyarakat.

​”Hari ini saya isytiharkan, semua dana yang dirampas dari hasil haram melalui proses undang-undang dan keputusan badan kehakiman yang mencecah berbilion ringgit akan dipulangkan, terutamanya dalam bidang pendidikan dan kesihatan rakyat.

​”Pertumbuhan ekonomi negara mesti dikembalikan kepada rakyat,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

​Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, tindakan pantas itu diambil berikutan tekanan kos sara hidup yang dialami rakyat ketika ini, tanpa perlu menunggu pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober depan.

Beliau memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju melaksanakan enam ikhtiar khas yang akan berkuat kuasa serta-merta pada 1 September 2026.

​Menerusi pelaksanaan ikhtiar berkenaan, kerajaan bersetuju menaikkan kelayakan asas subsidi BUDI 95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan untuk lebih 16 juta pengguna, manakala pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak dinaikkan kemudahan sehingga 400 liter sebulan.

​Bagi pemantapan prasarana sekolah, peruntukan penyelenggaraan bagi semua jenis sekolah ditingkatkan sebanyak 50 peratus iaitu daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion bagi tahun 2027.

Langkah itu merangkumi Sekolah Kebangsaan, SJKC, SJKT, sekolah agama, tahfiz, pondok dan pendidikan khas, dengan Kementerian Pendidikan akan mula turun ke lapangan seawal bulan depan untuk meneliti keperluan pembaikan.

​Dalam sektor kesihatan awam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan peruntukan RM1 bilion bagi memperkasakan kecekapan digital melalui pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) serta sambungan internet di 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam.

Usaha tersebut dijangka dapat mengurangkan masa beratur dan mempercepatkan urusan rawatan pesakit di seluruh negara.

​Selain itu, kerajaan turut mengumumkan program AI untuk Rakyat bagi belia berusia 18 hingga 30 tahun dengan langganan percuma aplikasi AI terkemuka selama tiga bulan bagi 100,000 peserta terawal.

Bagi membantu sektor perniagaan kecil, ambang pengecualian e-Invois dinaikkan kepada RM3 juta setahun, disusuli penambahan dana pembiayaan mikro menjadikan jumlah keseluruhan RM6 bilion bagi tahun 2026 serta peruntukan RM200 juta bagi Geran Sejahtera Madani untuk penjaja, peniaga pasar malam dan ibu-ibu yang berkedai dari rumah.

​Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada barisan jemaah menteri, penjawat awam serta agensi penguatkuasaan dan badan kehakiman yang bertindak berani, tegas serta bersih dalam membanteras penyelewengan harta negara.

​”Kita lakukan sebaiknya dengan semangat perpaduan dan diharap kesemua ikhtiar ini dapat dilaksanakan kerana ia bertolak daripada satu prinsip yang jelas iaitu hasil dan pertumbuhan ekonomi mesti dikembalikan semula kepada rakyat,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles