KOTA BHARU: Kedudukan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) masih sah dari segi undang-undang, namun parti itu tidak lagi mempunyai hubungan politik dengan PAS.
Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menjelaskan bahawa status BERSATU sebagai salah satu parti komponen PN masih wujud berdasarkan peruntukan perlembagaan gabungan berkenaan.
Katanya, kedudukan tersebut berbeza dengan hubungan politik antara BERSATU dan PAS yang kini tidak lagi mempunyai persefahaman.
“Dari segi undang-undang, BERSATU masih merupakan parti komponen PN dan kedudukan itu tidak boleh dinafikan dari sudut perlembagaan.
“Namun, dari sudut moral dan politik, saya menyifatkannya sebagai kedudukan secara teknikal kerana hubungan BERSATU dengan PN sudah terputus,” katanya kepada pemberita hari ini.
Takiyuddin berkata, tindakan BERSATU menggunakan lambang sendiri ketika bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menjadi antara perkara yang mencerminkan perubahan pendirian parti tersebut.
Menurutnya, keputusan untuk bertanding menggunakan logo BERSATU dan bukannya lambang PN menunjukkan parti berkenaan tidak lagi bergerak atas dasar persefahaman politik bersama gabungan itu.
“Bagi kami, secara teknikalnya, mereka telah keluar. Mereka juga bertanding menggunakan lambang BERSATU dan bukannya PN.
“Justeru, persefahaman politik antara PAS dan BERSATU sudah tidak wujud lagi. Hubungan itu telah berakhir,” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin menjelaskan PAS mengambil pendekatan berhati-hati dalam menggambarkan keputusan berhubung hubungan dengan BERSATU.
Beliau berkata, PAS memilih istilah ‘menghentikan hubungan politik’ dan tidak menggunakan istilah ‘memutuskan hubungan’ secara rasmi.
“Kami menggunakan perkataan ‘kami menghentikan hubungan tersebut’. Maksudnya, kami menghentikan hubungan politik dengan BERSATU,” katanya.
Hubungan antara kedua-dua parti sebelum ini semakin tegang selepas BERSATU mengambil keputusan untuk bertanding menentang PN pada PRN Negeri Sembilan yang diadakan 1 Ogos lalu.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Jumaat lalu turut mengesahkan bahawa ruang untuk memperbaiki hubungan antara PAS dan BERSATU semakin tertutup.
Menurut beliau, pendirian itu dibuat selepas BERSATU memilih untuk bertanding menentang PN pada PRN berkenaan.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, kemelut itu turut bertambah rumit susulan kenyataan pemimpin BERSATU mengenai kemungkinan parti tersebut bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Melaka.










