KUALA LUMPUR: Biro Hubungan Antarabangsa PKR menzahirkan rasa bimbang yang mendalam terhadap keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Nepal yang berkemungkinan terjejas akibat banjir parah di negara berkenaan.
Pengerusinya, Dr Maszlee Malik berkata, ingatan dan doa ditujukan kepada seluruh rakyat Malaysia di kawasan terjejas, terutamanya mereka yang terkandas, terputus hubungan dengan keluarga atau memerlukan bantuan kecemasan.
“Pihak kami amat memahami kebimbangan dan ketidakpastian yang dihadapi oleh keluarga mereka di Malaysia.
“Dalam situasi sebegini, pihak keluarga berhak mendapat maklumat yang tepat, pantas dan boleh dipercayai mengenai keselamatan serta keberadaan insan tersayang,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Mengulas lanjut, Maszlee memberitahu bahawa biro itu akan segera berhubung dengan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dan Kedutaan Nepal di Malaysia bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung status rakyat Malaysia yang terjejas.
Jelas beliau, langkah itu termasuk mendapatkan kepastian mengenai keselamatan, lokasi terkini serta bentuk bantuan yang mungkin diperlukan oleh mangsa.
“Kami juga akan berusaha menghubungi keluarga terjejas bagi memahami kebimbangan mereka dan mengenal pasti saluran bantuan yang boleh dihulurkan sepanjang tempoh sukar ini.
“Pada masa yang sama, biro ini akan berkoordinasi dengan Kerajaan MADANI dan pihak berkuasa berkaitan untuk menyokong usaha membantu rakyat Malaysia di sana, termasuk mereka yang memerlukan proses pemindahan (evakuasi), bantuan kecemasan mahupun sokongan konsular lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa warga Malaysia di Nepal yang berada dalam keadaan selamat dan berkeupayaan untuk berkomunikasi agar segera menghubungi keluarga masing-masing.
“Mereka juga dinasihatkan supaya memaklumkan keberadaan serta situasi semasa kepada pihak berkuasa konsular Malaysia,” katanya.
Tegas Maszlee, keselamatan rakyat Malaysia di luar negara mesti sentiasa menjadi keutamaan bersama dan tiada keluarga yang sepatutnya dibiarkan menanggung ketidakpastian tanpa akses kepada maklumat serta bantuan.
“Biro ini akan terus memantau perkembangan ini secara rapat dan kekal berhubung dengan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
“Kami turut menzahirkan solidariti kepada rakyat Nepal serta seluruh komuniti yang terjejas akibat bencana ini. Doa kami bersama mereka yang kehilangan insan tersayang, kediaman dan sumber pendapatan, selain petugas kecemasan serta sukarelawan yang berkhidmat dalam keadaan amat mencabar,” katanya.










