Hab Usahawan Selangor Bakal Dibangun, Bawa Produk Sungai Besar Ke Pasaran Antarabangsa

SUNGAI BESAR: Produk makanan dan perusahaan kecil dari Sungai Besar berpotensi dibawa ke pasaran antarabangsa menerusi usaha memperkukuh aspek pembungkusan, penjenamaan, kapasiti pengeluaran dan jaringan pemasaran, termasuk cadangan mewujudkan sebuah hab produk usahawan di Selangor.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, Sungai Besar mempunyai kekuatan tersendiri khususnya dalam industri kerepek, kuih-muih, makanan tradisional serta produk perusahaan kecil yang telah lama berkembang dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurutnya, Sungai Besar sememangnya dikenali sebagai antara kawasan pengeluaran produk berkenaan, malah banyak kerepek dan kuih raya yang dipasarkan di Kuala Lumpur datang dari kawasan itu.

“Ini adalah tempat yang sesuai untuk kita buat satu majlis yang betul-betul fokus kepada bagaimana kita nak membawa industri-industri ini dan juga barang-barang yang diproduksikan di sini untuk pergi lebih jauh dan ke peringkat antarabangsa.

“Kita sebagai anak Sungai Besar jangan mensia-siakan usaha yang nak dibuat oleh Persatuan Wawasanita ini kerana kita mempunyai jaringan yang cukup kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sehimpun Sehaluan di sini yang menghimpunkan kira-kira 600 peserta termasuk ketua-ketua kampung, wakil NGO, usahawan dan kepimpinan masyarakat setempat.

Turut hadir Presiden Wawasanita Malaysia, Datin Dr Norlaily Haji Alias dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Razlan berkata antara cabaran utama dihadapi pengusaha produk kampung ialah aspek pembungkusan dan pemasaran, selain kemampuan menyediakan bekalan secara konsisten apabila mahu memasuki pasaran berskala besar.

Katanya, produk yang berkualiti dan mempunyai rasa yang baik belum tentu mampu menembusi pasaran lebih luas sekiranya pembungkusan tidak sesuai, jangka hayat produk pendek atau pengusaha gagal menjamin bekalan dalam kuantiti diperlukan.

Sehubungan itu, beliau melihat cadangan mewujudkan hab berkenaan bukan sekadar sebagai pusat pemasaran, sebaliknya platform menghimpunkan pengusaha kecil, menyeragamkan standard produk dan memperkukuh kapasiti pengeluaran.

Menurutnya, jaminan bekalan amat penting sekiranya usahawan mahu memasuki rangkaian peruncitan besar sebelum berkembang ke pasaran antarabangsa.

“Kalau kita boleh ada satu hub industri untuk kita mulakan mengumpul dan juga letakkan satu standard untuk semua usahawan-usahawan kecil ini, kita boleh pilih satu atau dua produk yang kita jangkakan boleh dipasarkan di luar,” katanya ketika ditemui media selepas majlis itu.

Razlan berkata pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya satu atau dua produk dari Sungai Besar dapat dibawa ke pasaran antarabangsa tahun depan menerusi kerjasama Wawasanita dan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Katanya, agensi seperti KEMAS, FELCRA, RISDA, GIATMARA dan MARA mempunyai peranan serta kepakaran yang boleh dimanfaatkan untuk mengenal pasti, membimbing dan mengetengahkan usahawan berpotensi.

Beliau berkata kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pengusaha yang sudah mempunyai produk untuk membantu mereka meningkatkan skala perniagaan, bukannya semata-mata melahirkan usahawan baharu.

Dalam pada itu, Wawasanita Malaysia merancang membangunkan sebuah hab produk usahawan di Selangor bagi menghimpunkan pengusaha makanan dan minuman (F&B), khususnya pengeluar kerepek, keropok serta produk makanan tempatan.

Norlaily berkata produk yang dikenal pasti akan dipertingkatkan dari segi pembungkusan dan kualiti, termasuk menerusi teknologi retort, sebelum dipasarkan di bawah satu jenama dan dibawa ke pasaran antarabangsa menggunakan jaringan Wawasanita.

“Saya telah suarakan Wawasanita ingin memanggil semua usahawan-usahawan kerepek, keropok, F&B untuk kita membina hub di Selangor ini.

“Dengan satu hub ini, kita pulihkan packaging dan juga kualiti melalui retort dan kita pasarkan menggunakan satu jenama, ‘Kerepek International’. Dan di sini, Wawasanita akan pasarkan ke luar negara,” katanya.

Menurutnya, antara sasaran awal ialah membawa produk usahawan terbabit ke Türkiye menerusi program yang dirancang pada Mei.

Wawasanita yang mempunyai kira-kira 17,000 ahli juga mempunyai pengalaman membawa produk rangkaiannya ke pasaran luar termasuk United Kingdom dan Türkiye.

Norlaily berkata pihaknya turut melihat potensi penglibatan kira-kira 200 syarikat dalam inisiatif pembangunan pasaran yang dirancang, dengan sesebuah syarikat berkemungkinan mempunyai pelbagai unit simpanan stok (SKU).

Berdasarkan pengalaman Wawasanita selama kira-kira 30 tahun membimbing usahawan, beliau menganggarkan peningkatan dalam aspek produktiviti, pengeluaran, kualiti dan pemasaran berpotensi menghasilkan pertumbuhan margin sekitar 30 peratus.

Beliau turut merujuk pengalaman penganjuran Selangor Day in London pada 2018 yang menyaksikan produk tempatan, termasuk kerepek ubi kayu, mendapat sambutan.

“Daripada ekonomi di rumah kecil-kecilan, cottage industry, potong kerepek, goreng kerepek, kita mahu lahirkan perniagaan yang boleh berkembang,” katanya.

Razlan pula berkata matlamat akhirnya adalah untuk melihat pengusaha kecil di Sungai Besar bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan, malah berkembang menjadi usahawan berjaya.
“Kalau kita dapat lahirkan jutawan-jutawan Sungai Besar, itu adalah satu kejayaan bagi kami,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata usaha memperkasakan ekonomi masyarakat perlu bergerak seiring dengan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan berkenaan.
Menurutnya, antara peruntukan yang telah disalurkan menerusi KKDW termasuk kira-kira RM3 juta bagi menaik taraf jalan kampung serta RM11.5 juta bagi program perumahan melibatkan Sungai Besar dan kawasan berhampiran.

Katanya, kerjasama antara kerajaan, NGO, pemimpin masyarakat dan rangkaian keusahawanan penting bagi meningkatkan nilai produk yang bermula daripada industri desa sehingga mampu bersaing dalam pasaran lebih luas.

BBerkaitan

Latest articles