PUTRAJAYA: Waris rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan selepas tragedi banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal diminta bersedia menjalani ujian DNA bagi membantu proses pengecaman mangsa.
Arahan itu susulan penemuan beberapa jasad yang masih belum dikenal pasti di kawasan bencana dan terpaksa dikebumikan segera berikutan ketiadaan kemudahan penyimpanan mayat yang sesuai.
Bagi Sivakumar Kalimuthu, 57, yang masih menanti khabar mengenai isterinya, Kalai Mathe Karuppaiah, 57, persediaan menjalani ujian DNA menjadi satu lagi detik sukar buat keluarganya.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan ketika menghadiri sesi taklimat oleh Kementerian Luar di Wisma Putra hari ini.
“Pihak polis akan menghubungi kami untuk tujuan ujian DNA dan saya perlu mengumpulkan tiga anak untuk ujian tersebut,” katanya.
Menurut Sivakumar, ketiga-tiga anaknya kini berada di Singapura, Kedah dan Selangor.
Katanya, keluarga masih bersedih, namun tetap berharap isterinya yang merupakan seorang suri rumah ditemukan dalam keadaan selamat.
Sivakumar berkata, beliau menerima panggilan daripada Kalai Mathe kira-kira jam 11 pagi Selasa lalu.
Dalam panggilan itu, isterinya memaklumkan bahawa beliau bersama kumpulan 17 pelancong Malaysia mahu bergerak masuk ke Kailash untuk menunaikan ibadah.
Selepas itu, tiada lagi komunikasi diterima daripada isterinya.
“Isteri memaklumkan dia dan kumpulan pelancong dari Malaysia sebanyak 17 orang mahu bergerak masuk ke Kailash untuk sembahyang dan selepas itu tiada lagi sebarang komunikasi,” katanya.
Terdahulu, taklimat tertutup Kementerian Luar memaklumkan waris rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan digalakkan menjalani ujian DNA di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri masing-masing bermula esok, selepas menerima pemakluman rasmi.
Profil DNA waris berkenaan akan digunakan sebagai rujukan silang bagi membantu proses pengecaman identiti mangsa tragedi yang berlaku Rabu lalu.










