RAUB: Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menyita tiga lori treler dan menahan tiga pemandu selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pemindahan bahan mineral tanpa kelulusan sah di kawasan Sungai Batu, Mukim Batu Talam di sini pada Sabtu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, operasi berkenaan dijayakan oleh 23 anggota UPNP daripada Zon Pahang Barat, Zon Pahang Tengah, Sektor Penyelidikan dan Remote Sensing serta Sektor Tugas Khas susulan rondaan pemantauan dan risikan.
Menurutnya, hasil pemantauan menggunakan teknologi dron telah mengesan tiga lori treler berkenaan membawa bahan mineral disyaki bijih besi keluar dari kawasan perlombongan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
”Semakan mendapati pemandu mengemukakan Borang 13D dan Delivery Order (DO) dari kelulusan kawasan lain bagi tujuan pengangkutan bahan mineral berkenaan.
”Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lokasi stokpile bahan mineral yang ditunjukkan berada di luar kawasan perlombongan yang dibenarkan.
”Pihak penguat kuasa turut mendapati lokasi stokpile tersebut berada di kawasan yang mempunyai Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dan ketiga-tiga pemandu gagal mengemukakan dokumen atau kelulusan sah berkaitan lokasi itu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Wan Rosdy memberitahu, selain menyita kenderaan dan menahan pemandu untuk membantu siasatan, pihak penguat kuasa turut merampas tiga keping Borang 13D serta mengambil dua sampel bahan mineral disyaki bijih besi bagi tujuan penyiasatan untuk pendakwaan.
Jelas beliau, tindakan sitaan dan tangkapan dibuat di bawah Seksyen 137 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.
Manakala kesalahan berkaitan maklumat dan kemungkiran terma atau syarat pula disiasat di bawah Seksyen 159 dan Seksyen 165 enakmen yang sama.
”Ketiga-tiga individu yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan dilepaskan dengan jaminan polis.
”Kenderaan yang disita pula dibawa ke Tapak Sitaan UPNP Zon Pahang Tengah di Temerloh,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy menegaskan beliau telah mengarahkan kertas siasatan dibuka bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan untuk menentukan sebarang pelanggaran syarat dan peruntukan undang-undang.
”Kerajaan Negeri Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti berkaitan sumber mineral tanpa mematuhi undang-undang, syarat lesen, permit dan kelulusan yang ditetapkan.
”Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa, termasuk melalui penggunaan teknologi pemantauan dan risikan bagi memastikan hasil bumi negeri diurus secara teratur, bertanggungjawab dan mengikut undang-undang,” tegas beliau.










