Aset RM4 Juta Milik Pendakwah Bebas Kena Sita

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap seorang pendakwah bebas berhubung penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) miliknya menunjukkan perkembangan apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai kira-kira RM4 juta.

Menurut sumber, sitaan terbaharu yang dilakukan oleh SPRM Negeri Sembilan hari ini merangkumi wang tunai dalam pelbagai mata wang termasuk Riyal 7,325, RM152,155 serta SGD27,134.

Selain itu, pihak berkuasa turut merampas barangan kemas dipercayai bernilai sekitar RM2 juta.

Jelas sumber berkenaan, nilai keseluruhan sitaan yang dibuat sejak semalam sehingga hari ini menunjukkan peningkatan ketara, sekali gus mengukuhkan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan tersebut.

Dalam perkembangan sama, siasatan awal turut mendedahkan penglibatan dua individu dipercayai bersubahat, iaitu isteri suspek yang memegang jawatan bendahari NGO berkenaan serta seorang lagi individu yang bertindak sebagai setiausaha.

Tambah sumber, dana NGO itu dipercayai telah dipindahkan ke akaun peribadi suspek selain disalurkan ke lapan akaun syarikat yang turut dimilikinya tanpa pengetahuan ahli jawatankuasa lain.

Semalam, pendakwah bebas berkenaan direman selama lima hari oleh SPRM Negeri Sembilan bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana NGO yang dianggarkan mencecah RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan tindakan sitaan tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa lapan syarikat yang terlibat merangkumi pelbagai sektor termasuk percetakan, penerbitan, jualan buku, pemasaran, penjualan produk, pengurusan sumber manusia serta pengurusan duta produk.

BBerkaitan

Latest articles