DUN Negeri Sembilan Ditangguh — Pemuda UMNO Tuduh MB Lari Dari Tanggungjawab

NEGERI SEMBILAN — Pemuda UMNO Negeri Sembilan menzahirkan rasa kesal yang mendalam atas keputusan menangguhkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan merupakan pengkhianatan terhadap amanah yang telah diberikan rakyat kepada wakil-wakil mereka.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin berkata keputusan penangguhan itu dilihat seolah-olah tidak memikirkan nasib rakyat, terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa ini.

Beliau menegaskan bahawa Dewan Undangan Negeri adalah platform utama bagi wakil rakyat yang telah dipilih untuk membawa suara dan membela kepentingan rakyat, dan penangguhan sidang itu merampas hak rakyat untuk disuarakan kepentingan mereka.

“Penangguhan ini akan memberi kesan kepada kuasa semak dan imbang dalam pentadbiran Kerajaan Negeri, apatah lagi dalam keadaan krisis pentadbiran yang berlaku hari ini,” katanya.

Mohamad Fadil turut menggesa Menteri Besar Negeri Sembilan agar mengutamakan kepentingan rakyat berbanding pertimbangan lain, sambil menegaskan bahawa sekiranya Menteri Besar benar-benar memikirkan nasib rakyat seperti yang sering diucapkan, Sidang DUN seharusnya diteruskan bagi menyelesaikan segala isu yang berbangkit.

Beliau mengakhiri kenyataan itu dengan peribahasa Melayu dan ungkapan Adat Perpatih sebagai sindiran kepada kepimpinan Kerajaan Negeri — “Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai” dan “Kato sapatah dipalegakan, mancari bulek sagulu, picak nan salayang.”

BBerkaitan

Latest articles