Shuib Buka Mulut, Rayu Jep Maafkan Dirinya

KUALA LUMPUR: Pelawak dan usahawan, Shuib, akhirnya memecah kebisuan selepas hampir seminggu berdepan kontroversi dengan bekas rakan sekumpulannya, Jep, apabila tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 42, menerusi video yang dimuat naik di media sosial hari ini, mengakui terkesan dengan kecaman yang bukan sahaja ditujukan kepadanya, malah turut melibatkan isteri, anak-anak, keluarga dan perniagaannya.

Beliau berkata, tindakan memohon maaf sudah dilakukan menerusi WhatsApp kepada Jep dalam tempoh kurang 24 jam selepas pelawak itu mengeluarkan kenyataan pada 8 Oktober lalu.

Permohonan itu dibuat susulan tindakannya bersama Mamat menyindir Jep dalam sebuah podcast bersama Azlee Senario.

Shuib mengakui kesilapannya dan berharap hubungan persahabatan yang terjalin hampir 20 tahun itu tidak berakhir dengan persengketaan.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan syarikatnya, Bubblebee, telah membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara ansuran selama 10 bulan berturut-turut sejak Januari 2026, dengan baki 14 bulan lagi untuk dilunaskan.

Beliau turut merayu orang ramai supaya menghentikan kecaman serta tidak memboikot perniagaan yang diusahakannya, termasuk Sepah Penyet, Bubblebee, Nusara Foods dan Sambal Hitam.

Menurutnya, perniagaan berkenaan merupakan sumber pendapatan keluarga dan antara usaha untuk melunaskan hutang syarikat Bubblebee.

Shuib turut menegaskan bahawa keluarganya tidak sepatutnya menanggung akibat daripada kesilapan yang dilakukannya.

Menerusi video sama, beliau menyampaikan mesej khas kepada Jep, menyatakan penghargaan terhadap kenangan, pengalaman susah senang serta kejayaan yang pernah mereka lalui bersama.

Sebelum ini, Jep atau Mohd Nadzri Zainal Abidin meluahkan rasa kurang senang apabila isu persahabatan mereka terus diperkatakan secara terbuka menerusi sebuah audio siar, meskipun beliau mendakwa sudah memohon maaf berhubung perkara terdahulu.

BBerkaitan

Latest articles