BEIJING: China sekali lagi menyatakan sokongan terhadap hasrat Malaysia menjadi anggota penuh BRICS, selain mengharapkan Putrajaya terus berperanan sebagai penghubung bagi memperkukuh kerjasama Beijing dengan negara ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu ditegaskan dalam pertemuannya dengan rakan sejawatnya, Ding Xuexiang, di Great Hall of the People, hari ini.
Menurutnya, sokongan China itu penting selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperoleh persetujuan negara anggota asal BRICS bagi menyokong penyertaan Malaysia.
Dalam perkembangan sama, Zahid berkata China turut berharap Malaysia meneruskan usaha memperkukuh kerjasama tiga hala antara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, termasuk menerusi penganjuran sidang kemuncak bersama.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN-China-GCC pada tahun lalu dan diharapkan dapat memainkan peranan sama apabila pertemuan itu dianjurkan di China kelak.
Beliau turut menyentuh potensi penggunaan renminbi (RMB) dalam urusan perdagangan dengan China dan negara GCC, yang boleh mempengaruhi urusan pertukaran mata wang melibatkan ringgit.
China dijadual mempengerusikan BRICS pada 2027 dan menjadi tuan rumah sidang kemuncak ke-19 kumpulan itu.
BRICS ditubuhkan pada 2006 oleh Brazil, Rusia, India dan China sebelum Afrika Selatan menyertainya pada 2011.










