KUALA LUMPUR: Formula lama dalam politik dan pengurusan ekonomi perlu diubah bagi membolehkan Malaysia terus bersaing dalam persekitaran global yang semakin mencabar, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, perubahan pantas dunia khususnya dalam bidang teknologi dan persaingan ekonomi menuntut rakyat mengamalkan pendekatan baharu menerusi gagasan ‘RESET Nasional’.
Menurutnya, RESET Nasional perlu meliputi tiga aspek utama iaitu cara berpolitik, pengurusan ekonomi serta usaha membina masa depan negara.
“Dunia sedang berubah dan anak cucu kita akan hidup dalam dunia yang jauh berbeza. Kalau rakyat berpecah, tidak mungkin kita dapat melangkah jauh ke hadapan.
“Sebab itulah kita memerlukan satu semangat baharu, RESET Nasional. RESET cara kita berpolitik, RESET cara kita mengurus ekonomi dan RESET cara kita membina masa depan negara,” katanya dalam Perutusan Hari Kebangsaan ke-69, hari ini.
Hamzah berkata, tanggungjawab generasi hari ini bukan sekadar mengenang pengorbanan generasi terdahulu yang mencurahkan keringat, air mata dan darah demi mencapai kemerdekaan.
Sebaliknya, katanya, kebebasan yang dinikmati perlu diisi dengan usaha membina masa depan lebih baik untuk generasi akan datang.
Beliau berkata, matlamat negara adalah untuk melahirkan Malaysia yang moden dan maju, dihormati di peringkat dunia, namun pada masa sama kekal berjiwa merdeka serta menjunjung nilai keharmonian dan kemanusiaan.
Dalam pada itu, Hamzah mengingatkan rakyat supaya tidak membiarkan perbezaan latar belakang kaum menjadi penghalang kepada usaha membangunkan negara.
Katanya, rakyat Melayu, Cina, India serta Bumiputera Sabah dan Sarawak berada dalam “perahu yang sama” dan perlu bergerak menuju destinasi yang sama.
“Bagi mencapai destinasi negara yang lebih baik, tidak boleh ada mana-mana pihak yang bertindak mendayung ke arah yang berbeza.
“Kita mesti bersatu menempuh badai dan gelora bersama, menempuh apa jua rintangan melanda menuju Konsensus Nasional demi membina negara ini bersama-sama,” katanya.










