LIMA Kekal Di Langkawi, Jangan Tukar Identiti Pulau – Mohd Omar

KUALA LUMPUR: Sebarang cadangan memindahkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) dari Langkawi ke lokasi lain termasuk Melaka wajar ditolak kerana pameran itu sudah menjadi sebahagian daripada identiti serta aset ekonomi strategik pulau berkenaan.

Ketua Bahagian Langkawi merangkap Naib Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Mohd Omar Mustapha, berkata LIMA bukan sekadar acara antarabangsa yang kebetulan dianjurkan di Langkawi, sebaliknya dibina bersama pulau itu sejak lebih tiga dekad lalu.

Menurutnya, nama LIMA sendiri telah memperkenalkan Langkawi ke pentas antarabangsa, selain mewujudkan rangkaian ekonomi yang memberi manfaat kepada industri pelancongan, pengangkutan, perniagaan kecil dan masyarakat tempatan.

“LIMA ialah pameran perdagangan dan strategik antarabangsa, bukan pesta awam yang kejayaannya diukur dengan jumlah pengunjung.

“Nilainya terletak pada pertemuan kerajaan, angkatan tentera, pemain industri aeroangkasa dan maritim, pembuat keputusan, pelabur serta delegasi antarabangsa,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Mohd Omar berkata, kelebihan Langkawi sebagai pulau yang mempunyai lapangan terbang antarabangsa, ruang udara terkawal, perairan terbuka dan kemudahan pameran khusus adalah sebahagian daripada reka bentuk asal LIMA.

Justeru, katanya, alasan bahawa lebih ramai orang awam dapat menghadiri pameran sekiranya ia dipindahkan ke tanah besar tidak sepatutnya dijadikan asas untuk mengubah lokasi penganjuran.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan sedang meneroka alternatif untuk menganjurkan LIMA di Melaka pada masa depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilaporkan berkata langkah itu bagaimanapun memerlukan pelaburan besar kerajaan bagi memastikan infrastruktur berkaitan disediakan dengan sempurna.

Mohd Omar menegaskan, masalah akses ke Langkawi tidak boleh dijadikan alasan untuk memindahkan LIMA.

Sebaliknya, masalah itu perlu diselesaikan.

“Jika perkhidmatan feri tidak menentu, perbaikinya. Jika kapasiti penerbangan tidak mencukupi, tambahkannya. Jika kemudahan pulau perlu dinaik taraf, laksanakan.

“Memindahkan LIMA kerana kelemahan infrastruktur bermakna kerajaan memilih untuk memindahkan akibat sesuatu masalah sambil meninggalkan puncanya tidak diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata cadangan mewujudkan Koridor Perhubungan Laut Langkawi untuk tempoh 30 tahun yang dikemukakannya sebelum ini boleh menjadi antara penyelesaian jangka panjang terhadap isu akses ke pulau berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Omar menyifatkan LIMA sebagai aset ekonomi strategik yang tidak boleh dipindahkan sesuka hati selepas lebih 30 tahun ekosistem ekonomi tempatan dibina di sekelilingnya.

Katanya, hotel, syarikat pengangkutan, perusahaan kecil, penyedia perkhidmatan, pekerja sektor pelancongan serta ribuan keluarga di Langkawi menerima manfaat secara langsung dan tidak langsung daripada penganjuran LIMA.

“Persoalan yang wajar ditanya kerajaan ialah bagaimana nilai ekonomi LIMA boleh diperluaskan kepada lebih ramai penduduk Langkawi, bukan bagaimana nilai itu boleh dipindahkan ke negeri lain.

“Melaka mempunyai hak untuk membangunkan acara maritim dan aeroangkasa bertaraf antarabangsa miliknya sendiri. Tetapi membangunkan Melaka tidak memerlukan pengorbanan Langkawi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan jaminan jelas bahawa LIMA akan kekal di Langkawi, selain mengemukakan pelan memperkukuh infrastruktur, akses serta manfaat ekonomi pameran itu kepada penduduk tempatan.

Mohd Omar turut memberi komitmen bahawa WAWASAN akan memastikan LIMA terus dianjurkan di Langkawi sekiranya parti itu menganggotai Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

BBerkaitan

Latest articles