100,000 Belia Nikmati ILMUchat Pro Percuma Tiga Bulan Menerusi AI Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, – Seramai 100,000 belia Malaysia berusia antara 18 hingga 30 tahun disasarkan menerima akses percuma selama tiga bulan kepada ILMUchat Pro, menerusi pelaksanaan program AI Untuk Rakyat yang bermula sempena Hari Kebangsaan.

Pelaksanaan itu menyusuli pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bahawa kerajaan akan menyediakan akses dan langganan aplikasi kecerdasan buatan (AI) secara percuma kepada golongan muda yang melengkapkan modul latihan ditetapkan menerusi platform Rakyat Digital.

Menerusi program berkenaan, belia yang melengkapkan latihan AI kebangsaan di Rakyat Digital layak menuntut akses ILMUchat Pro selama tiga bulan, yang biasanya ditawarkan pada harga RM50 sebulan.

Program AI Untuk Rakyat merupakan inisiatif kebangsaan Kementerian Digital yang dilaksanakan dengan kerjasama YTL AI Labs dan MyDIGITAL Corporation melalui Rakyat Digital, dengan sasaran awal membabitkan 100,000 rakyat Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun.

Ketika mengumumkan inisiatif berkenaan pada pelancaran AI Malaysia di Cyberjaya, Julai lepas, Anwar berkata langkah itu penting bagi memastikan kemajuan pesat teknologi AI negara turut dapat dinikmati rakyat dan tidak mewujudkan jurang baharu dalam masyarakat.

Beliau berkata akses percuma itu diberikan dengan syarat peserta terlebih dahulu mengikuti dan melengkapkan modul latihan ditetapkan, antaranya berkaitan keselamatan AI, keselamatan siber, AI generatif, Agentic AI dan teknologi awan.

Pada masa sama, pemilihan ILMUchat Pro memberikan peserta akses kepada pembantu AI yang dibangunkan berdasarkan konteks komunikasi dan keperluan rakyat Malaysia, termasuk keupayaan berinteraksi secara semula jadi dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina serta Manglish.

Antara kegunaannya termasuk membantu merangka e-mel dan surat, mencari perkhidmatan serta perniagaan tempatan, menghasilkan poster dan grafik, menyediakan slaid pembentangan serta membangunkan prototaip aplikasi tanpa perlu menulis kod.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs Foong Chee Mun berkata pihaknya berbangga dapat menyokong aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara peneraju AI menerusi penyediaan akses teknologi berkenaan kepada generasi muda.

Beliau berkata usaha itu diharap bukan sahaja melahirkan pengguna AI, malah membuka ruang kepada golongan muda untuk menjadi pembangun dan penyumbang kepada masa depan ekosistem AI negara.

Bagi mendapatkan akses percuma itu, peserta perlu log masuk ke platform Rakyat Digital, melengkapkan kursus yang diperlukan sebelum memilih ILMUchat Pro melalui papan pemuka masing-masing.
Peserta kemudiannya akan diarahkan ke ILMUchat dan perlu membuat pengesahan menggunakan MyDigital ID bagi mengaktifkan akses percuma selama tiga bulan.

Program itu merupakan antara langkah kerajaan memperluas literasi dan penggunaan AI dalam kalangan rakyat, selari dengan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 serta aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara AI menjelang 2030.

BBerkaitan

Latest articles