IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus bekerjasama rapat dengan Wisma Putra bagi mengesan dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di Rasuwa, Nepal.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kementerian sedang berusaha mendapatkan maklumat terkini mengenai keberadaan kedua-dua anggota terbabit yang merupakan sebahagian daripada lebih 50 rakyat Malaysia yang masih terputus hubungan susulan bencana berkenaan.
“Saya juga meminta seluruh rakyat Malaysia berdoa demi keselamatan dan kesejahteraan dua wira merah yang setakat ini belum dapat dikesan.
“Kita memang berharap mereka selamat, malah kedua-duanya adalah anggota cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ekspo Jom Makan Ipoh, malam tadi.
Dua anggota JBPM yang masih belum dapat dihubungi itu ialah Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Ibu Pejabat JBPM, Mohd Sani Harul, dan pegawai Akademi JBPM Wilayah Tengah, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa.
Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC), selepas berlepas ke Nepal pada malam Isnin minggu lalu.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, KPKT melalui JBPM sentiasa berhubung rapat dengan keluarga kedua-dua anggota terbabit bagi mendapatkan perkembangan terkini dan memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian.
Usaha mengesan kedua-dua ‘wira merah’ itu diteruskan dengan kerjasama pihak berkuasa Nepal serta Wisma Putra.
— BERNAMA










