Tudung Jalur Gemilang Tidak Lengkap: Polis Buka Siasatan

SUBANG JAYA: Polis membuka siasatan berhubung penjualan tudung bercorak Jalur Gemilang yang didakwa tidak lengkap di sebuah pasar raya di daerah ini, susulan penularan video berkaitan produk berkenaan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung isu itu pada jam 4.49 petang semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati hanya sebahagian daripada tudung terbabit mempunyai corak Jalur Gemilang yang tidak lengkap, manakala produk itu diterima daripada pihak pembekal.

“Susulan penularan video itu, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, iaitu berkaitan penggunaan Jalur Gemilang yang tidak mencukupi sifat.

“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata, polis tidak menolak sebarang kemungkinan dalam siasatan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Beliau berkata, tindakan itu penting bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus dan teratur tanpa dipengaruhi sebarang andaian di media sosial.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7100.

“Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Isu berkenaan sebelum ini mendapat perhatian selepas Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) memohon maaf susulan penjualan tudung bertemakan Jalur Gemilang yang mempunyai reka bentuk bintang tidak lengkap.

Mydin dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan mengarahkan semua cawangannya menghentikan jualan produk terbabit serta-merta.

Menurut syarikat itu, semakan mendapati isu tersebut berpunca daripada kesilapan cetakan oleh pihak pembekal.

BBerkaitan

Latest articles