KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa sebarang aktiviti mahupun mesyuarat yang menggunakan nama parti itu tidak boleh dilaksanakan melainkan mendapat keizinan daripada Pengerusi baharunya, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketetapan itu dipertegaskan susulan maklum balas rasmi yang diterima daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) hari ini berhubung urusan pentadbiran dan pengurusan parti.
Menurut beliau, ROS menerusi surat bertarikh 19 Jun 2026 telah mengesahkan penerimaan Minit Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN bertarikh 22 Februari lalu, selain mengambil maklum mengenai kelulusan Majlis Tertinggi terhadap peletakan jawatan Pengerusi PN terdahulu serta pelantikan Pengerusi yang baharu.
”ROS turut mengesahkan penerimaan salinan Minit Mesyuarat Majlis Tertinggi bertarikh 14 Mac 2026 dan senarai kepimpinan serta pelantikan ahli jawatankuasa Majlis Tertinggi PN yang baharu untuk rekod jabatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Takiyuddin menambah, PN akan terus kekal komited bagi memastikan segala aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan parti sentiasa dilaksanakan mengikut perlembagaan parti selain mematuhi Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).










