KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan didesak tampil memberikan penjelasan segera mengenai hala tuju projek Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) di Johor yang sehingga kini masih menimbulkan tanda tanya, khususnya berkaitan status pelaksanaan dan garis masa projek tersebut.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, persoalan mengenai projek itu tidak boleh terus dibiarkan tanpa jawapan memandangkan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dijangka mula beroperasi dalam tempoh sekitar enam bulan lagi dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam.
Menurut beliau, ketiadaan sistem pengangkutan sokongan yang berkesan seperti e-ART berpotensi menyebabkan kesesakan trafik di pusat bandar Johor Bahru menjadi lebih serius apabila RTS mula beroperasi kelak.
Wee berkata, alasan bahawa Johor sudah mempunyai RTS yang hampir siap bukanlah alasan untuk menangguhkan pelaksanaan e-ART, malah keadaan itu menjadi sebab utama mengapa sistem berkenaan perlu disegerakan.
“RTS yang hampir siap itulah sebab Johor memerlukan e-ART. Tanpa sistem pengangkutan yang dapat menghubungkan penumpang RTS ke destinasi lain, tekanan terhadap rangkaian jalan raya di bandar akan bertambah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan pihak tertentu yang mempertahankan pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang sambil menyentuh status projek e-ART di Johor.
Tegas Ka Siong, beliau tidak pernah mempertikaikan keperluan Pulau Pinang memiliki sistem pengangkutan moden, sebaliknya hanya mahu Johor menerima perhatian dan keutamaan yang setara daripada Kerajaan Persekutuan.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan kelewatan projek e-ART yang didakwa kini berada di bawah seliaan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.
Sehubungan itu, beliau menuntut kerajaan memberikan jawapan jelas terhadap tiga perkara utama iaitu bila perjanjian kerjasama awam-swasta (PPP) akan dimeterai, bila pembinaan projek akan bermula dan tarikh sebenar sistem tersebut dijangka beroperasi.
Ka Siong turut berpandangan bahawa cadangan supaya Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM10 bilion kepada Kerajaan Negeri Johor bagi membolehkan projek itu dilaksanakan sendiri wajar dipertimbangkan sekiranya masih tiada kepastian mengenai tahap kesegeraan projek berkenaan.
“Jika benar mahu memperjuangkan kepentingan Johor, maka tuntutan ini perlu disokong demi masa depan negeri itu. Hak Johor tidak sepatutnya diketepikan hanya kerana mahu mempertahankan kepentingan politik pihak tertentu,” katanya.










