Fuziah: Peguam Akan Tentukan Tindakan Terhadap Rafizi, Nik Nazmi

JOHOR BAHRU: PKR menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan peguam parti untuk menentukan tindakan lanjut terhadap bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad, susulan keputusan kedua-dua pemimpin itu meninggalkan parti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, perkara itu kini berada di bawah penelitian peguam yang dilantik parti dan sebarang keputusan mengenainya akan ditentukan oleh pasukan berkenaan.

Menurut beliau, Rafizi dan Nik Nazmi bukan sahaja telah melepaskan jawatan masing-masing, malah turut mengumumkan keluar daripada PKR.

“Mereka sudah meletakkan jawatan dan keluar parti. Jadi, saya serahkan perkara ini kepada pasukan peguam,” katanya pada sidang media selepas meninjau Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Pasar Raya Econsave Cash & Carry, Taman Daya, hari ini.

Pada 17 Mei lalu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa sebelum mengesahkan keputusan meninggalkan PKR.

Susulan tindakan itu, parti berkenaan dilaporkan sedang meneliti beberapa pilihan termasuk tindakan undang-undang berdasarkan Akta Antilompat Parti serta tuntutan bon bernilai RM10 juta yang dikaitkan dengan kedua-dua bekas pemimpin kanan tersebut.

Bagaimanapun, isu tarikh sebenar mereka meninggalkan PKR turut menjadi perhatian apabila Rafizi dan Nik Nazmi hanya mendaftar sebagai ahli biasa Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) pada 21 Mei.

PKR pula berpendirian bahawa ikrar keluar parti oleh kedua-dua mereka telah berkuat kuasa pada 17 Mei, iaitu tarikh peletakan jawatan dan pengumuman keluar parti dibuat.

BBerkaitan

Latest articles